TAIPEI: Taiwan menerima sejumlah 2.5 juta vaksin COVID-19 Moderna yang disumbangkan kerajaan Amerika Syarikat.

Sumbangan tersebut menyusul selepas sejumlah 750,000 bekalan vaksin diterima susulan pertemuan delegasi antara dua negara pada 6 Jun lalu.

Presidennya, Tasi Ing-wen menyifatkan sumbangan tersebut bakal melonjakkan lagi kadar vaksinasi di negara itu.

"Ketika ini, 2.5 juta dos vaksin yang disumbangkan kerajaan Amerika Syarikat sudah tiba di Taiwan. Saya ingin menyatakan terima kasih kepada kerajaan Amerika Syarikat dan mereka yang terlibat dalam program ini.

"Sejak kebelakangan ini, perkataan vaksin merupakan kata kunci utama di Taiwan. Ini juga merupakan tugas besar buat kerajaan," katanya.

Malah, Ing-wen turut menyatakan sumbangan itu adalah hasil kerjasama antara dua negara yang saling memerlukan.

Bekalan tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan sekitar jam 4.30 petang Ahad waktu tempatan.