HONG KONG: Hong Kong meluluskan penurunan had umur untuk vaksin COVID-19 Sinovac bermula daripada usia tiga tahun.

Ini bagi memperluaskan insentif pemberian vaksin COVID-19 kepada 7.5 juta penduduknya.

Menurut Setiausaha Makanan dan Kesihatan (SFH) Hong Kong, Sophia Chan, remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin CoronaVac.

Menurut kenyataan itu, SFH menganggap bahawa manfaat meluluskan lanjutan kelayakan umur untuk melindungi mereka yang berumur tiga hingga 17 tahun "melebihi risiko".

Panel penasihat kerajaan Hong Kong mengenai vaksin COVID-19 sebelum ini mengesyorkan SFH untuk meluluskan had umur baharu itu.

Lanjutan kelayakan umur hadir memandangkan kempen vaksinasi di hab kewangan Asia yang bermula pada Februari lalu telah ketinggalan banyak berbanding ekonomi maju lain, dengan kira-kira 67 peratus daripada populasi telah divaksin dengan dua suntikan sama ada daripada Sinovac atau Biontech Jerman.

Dalam kenyataan berasingan pada Jumaat, kerajaan bandar itu berkata ia telah membeli 1 juta dos tambahan vaksin Biontech bagi pelaksanaan dos penggalak vaksin COVID-19.

Hong Kong telah mengikuti petunjuk Beijing dalam mengekalkan sekatan perjalanan yang ketat untuk membendung wabak COVID-19 baharu, berbeza dengan trend global yang melakukan pembukaan semula dan hidup dengan virus berkenaan.

Kumpulan pelobi perniagaan antarabangsa telah memberi amaran Hong Kong boleh kehilangan bakat dan pelaburan, serta tempat bersaing untuk menyaingi hab kewangan seperti Singapura, melainkan ia melonggarkan sekatan perjalanannya.

Walaupun hampir tiada kes tempatan terkini dan persekitaran yang hampir bebas daripada COVID-19, Hong Kong telah mengenakan arahan kuarantin wajib di hotel sehingga 21 hari untuk ketibaan daripada kebanyakan negara dengan kos dikenakan ke atas pengembara.