BRASILIA:Warga emas di Brazil mula diberikan suntikan vaksin di Rio de Janeiro.

Setakat ini di bandar itu, warga emas berusia 83 tahun ke atas diberikan suntikan vaksin seperti yang dirancang kementerian kesihatan negara itu.

Pihak berkuasa kini sudah memberikan suntikan vaksin kepada hampir suku juta orang di negara itu.

Selasa merupakan hari terakhir pemberian dos pertama yang disasarkan kepada warga emas 83 tahun ke atas.

Mereka yang berusia di bawah 83 tahun perlu menunggu seminggu lagi sebelum kempen tersebut bermula semula.

Di Hungary pula, bekalan vaksin yang dihasilkan China tiba di negara itu pada Selasa.

Ia sekali gus menjadikan negara itu sebagai negara pertama dari Kesatuan Eropah (EU) untuk menerima bekalan vaksin dari China.

Penghantaran ini melibatkan sejumlah 550,000 vaksin.

Bekalan ini mencukupi buat 275,000 rakyatnya untuk menerima dua dos suntikan.

Untuk rekod, pihak berkuasa kesihatan Hungary merupakan negara pertama di blok EU yang meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Sinopharm pada 29 Januari lalu.