TPM Ahmad Zahid nasihat orang ramai kekal waspada susulan Monsun Timur Laut

Ahmad Zahid berkata, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan dan perkembangan itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi mengelak sebarang risiko. - Gamnbar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai supaya kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan situasi cuaca tidak menentu akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara, khususnya di beberapa negeri Pantai Timur.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan dan perkembangan itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi mengelak sebarang risiko terhadap keselamatan diri serta keluarga.
"Jangan ambil mudah risiko banjir, elakkan meredah air deras dan pastikan aspek keselamatan diutamakan. Dapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi seperti METMalaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Beliau turut menggesa ibu bapa memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak, lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah yang akan bermula tidak lama lagi bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Hal itu, kata Ahmad Zahid termasuk memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan berisiko seperti sungai, parit, longkang besar atau kawasan yang dinaiki air kerana kelalaian kecil boleh mengundang tragedi besar.
Selain itu, beliau berkata ibu bapa digalakkan merancang pergerakan anak-anak dengan teliti sekiranya perlu keluar rumah, terutamanya di kawasan terjejas banjir.
"Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Insya-Allah dengan sikap berhati-hati, keprihatinan dan kerjasama semua pihak, kita dapat mengharungi musim ini dengan lebih selamat," katanya.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan keprihatinan terhadap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih menduduki baki peperiksaan hingga 23 Dis ini dan menasihati mereka agar terus memberi tumpuan kepada peperiksaan serta menjaga keselamatan diri.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang manakala amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Pahang (Jerantut, Maran dan Bera), Terengganu (Dungun dan Kemaman), Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
Hujan berterusan tahap waspada turut dijangka melanda sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang), dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh),
Turut terlibat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

