KESATUAN Eropah (EU) harus segera memulakan kerja teknikal untuk memastikan sistem pensijilan vaksinasi COVID-19 dapat diperkenalkan kepada 27 blok negara menjelang musim panas.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyampaikan hasrat 'pas hijau digital' itu dengan kerjasama organisasi antarabangsa bagi memastikan sistemnya juga terpakai di luar EU.

Sistem pensijilan yang akan menyediakan 'pasport vaksinasi' kepada pengembara sangat dinantikan oleh syarikat pengendali penerbangan.

Industri pelancongan juga menuntut agar ia disegerakan supaya sektor itu dapat berjalan dengan lancar.

Bagi negara-negara yang bergantung kepada sektor pelancongan, pasport berkenaan menunjukkan bukti bahawa seseorang pelancong itu sudah divaksin.

Sistem ini juga memerlukan infrastruktur teknikal yang sama bagi memastikan pihak berkuasa di negara anggota dapat mengesahkan sijil yang dikeluarkan sebagai boleh dipercayai.

Jelas von der Leyen, suruhanjaya itu akan bekerjasama dengan negara anggota dalam memastikan 'pasport' vaksinasi' itu dapat dibangunkan dalam masa tiga bulan akan datang.