CHICAGO: Delta Airlines minta pekerjanya membayar tambahan AS$200 dolar setiap bulan untuk pelan penjagaan kesihatan yang ditaja syarikat mereka sekiranya memilih untuk tidak mengambil vaksin COVID-19.

Langkah menambah surcaj kepada sumbangan insurans kesihatan itu merupakan strategi terbaharu syarikat korporat Amerika Syarikat bagi mendorong pekerjanya mendapatkan suntikan bagi melawan pandemik.

Berapa syarikat Amerika Syarikat termasuk United Airlines telah mewajibkan pekerja mereka mendapatkan suntkan vaksin bagi melindungi daripada jangkitan varian Delta yang mudah menular.

Presiden Joe Biden juga mendesak syarikat swasta agar memberikan vaksin kepada pekerja dengan kadar segera.

Beberapa jam selepas Delta Air mengumumkan bayaran tambahan itu, Kanada Air turut membuat pengumuman pekerja yang tidak divaksin selewat-lewatnya 30 Oktober akan berdepan dibuang kerja atau cuti tanpa gaji.

Syarikat itu juga mengubah polisi menjadikan vaksinasi penuh sebagai syarat mengambil pekerja baharu.

Dalam memo kakitangan, Ketua Eksekutif Delta Air, Ed Bastian mengatakan bayaran tambahan bulanan akan berkuatkuasa pada 1 November.

Bayaran tambahan itu diperlukan untuk mengatasi risiko kewangan yang dihadapi syarikat penerbangan yang berpangkalan di Atlanta akibat keputusan untuk tidak mengambil vaksin oleh pekerjanya.

Jurucakap Delta Air mengatakan bahawa rata-rata rawatan di hospital untuk COVID-19 telah menelan belanja syarikat AS$40,000 setiap seorang.

Bayaran tambahan akan dikenakan untuk seluruh tenaga kerja dan bukti atau dokumentasi vaksinasi diperlukan untuk mengelakkannya.

Lonjakan jangkitan COVID-19 menyebabkan masa depan syarikat penerbangan kembali terjejas.

Walau bagaimanapun, saham syarikat penerbangan Amerika Syarikat meningkat dalam dua hari terakhir dengan harapan bahawa kelulusan penuh vaksin Pfizer-BioNTech akan meningkatkan kadar vaksinasi dan melambatkan jangkitan baharu.