SINGAPURA: Singapura mungkin mempertimbangkan menyuntik satu dos vaksin COVID-19 terlebih dahulu kepada seramai mungkin penduduk di bawah fasa kedua program vaksinasi.

"Terdapat banyak kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan walaupun hanya satu dos ia mampu memberikan perlindungan tanpa jejaskan keberkesanannya," kata pengerusi bersama Pasukan Petugas Antara Kementerian (MTF), Ong Ye Kung pada sidang media secara maya pada Ahad.

Ong berkata menurut ahli imunologi di seluruh dunia adalah wajar untuk memanjangkan jangka masa antara dos pertama dan kedua.

"Jadi daripada 21 atau 28 hari, tiga atau empat minggu, seperti sekarang, kemungkinan ia akan dilanjutkan hingga enam ke lapan minggu," katanya

Sementara itu, berikutan peningkatan mendadak kes tempatan masyarakat, termasuk kes yang tidak berkaitan hari ini, MTF berkata langkah sewajarnya perlu diambil untuk mengurangkan interaksi dan menghindari risiko kluster yang lebih meluas.

Justeru dari 19 Mei, semua murid sekolah rendah, pelajar menengah, kolej dan Institut Millennia (MI), termasuk dari sekolah Pendidikan Khas (SPED), akan beralih sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (HBL) sehingga 28 Mei.

Memetik pengarah perkhidmatan perubatan Profesor Madya Kenneth Mak, Ong berkata, strain B1617 lebih banyak menjejaskan kanak-kanak.

Setakat ini Singapura mempunyai 12 kluster terbuka dengan satu kluster berkaitan dengan Kes 63131, seorang wanita Singapura berusia 50 tahun yang bekerja sebagai tutor di Learning Point.

Wanita itu disahkan dijangkiti COVID-19 pada 12 Mei. Lima daripada kes itu membabitkan pelajar Learning Point.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, jumlah kes di Singapura sebanyak 61,585.

-- BERNAMA