VAKSIN Pfizer Inc dan BioNTech SE dijangka tidak akan berada di pasaran dalam masa terdekat susulan keperluan untuk menyimpan vaksin tersebut dalam suhu yang sejuk melampau.

Menurut Pfizer, vaksin itu didapati menunjukkan 90 peratus keberkesanan dalam mengelak jangkitan COVID-19 bagi hampir kesemua individu yang mengambil bahagian dalam ujian klinikal fasa ketiga.

Namun, suhu simpanan bagi vaksin Pfizer yang serendah negatif 70 darjah Celsius (-94 F) dan ke bawah menimbulkan isu bagi kapasiti simpanan vaksin berkenaan.

“Kami melihat kepada vaksin yang memerlukan suhu simpanan serendah negatif 70 atau 80.

"Ini adalah isu logistik yang begitu besar bukan sahaja kepada Amerika Syarikat (AS) tetapi juga di luar dunia Barat,” kata pakar virologi dan penyelidik vaksin Mayo Clinic, Dr Gregory Poland kepada Reuters.

Tambah Poland, jika pusat perubatan gergasi seperti mereka tiada kapasiti simpanan seperti itu, ia akan menjadi isu bagi kapasiti simpanan selain halangan logistik.

BACA: COVID-19: Akhirnya, saintis temui vaksin keberkesanan sehingga 90 peratus

BACA: COVID-19: Keberkesanan vaksin Pfizer petanda awal kejayaan perang lawan pandemik

BACA: KKM kaji logistik vaksin sebelum buat sebarang keputusan

Dalam pada itu, jurucakap Pfizer Kim Bencker berkata syarikat itu sedang berusaha dan bekerja rapat dengan kerajaan AS serta pegawai negeri bagi menyelesaikan isu logistik agar vaksin itu mampu diedarkan daripada pangkal peredaran di AS, Jerman dan Belgium ke seluruh dunia.

“Antara cara vaksin ini boleh diangkut adalah dengan menggunakan ais kering bagi membekukan vaksin pada suhu yang disyorkan selama 10 hari, sambil ia dalam perjalanan menerusi langit dan darat,” ujar Becker.