PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneliti laporan termasuk hasil ujian vaksin COVID-19 sebelum membuat apa sahaja keputusan mengenai isu logistik.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk perincian aspek penyimpanan vaksin yang memerlukan tempat bersuhu rendah untuk memastikan keselamatannya.

"Jadi kita tunggu apa laporan sebelum kita membuat langkah seterusnya. Ada banyak isu logistik termasuk aspek penyimpanan vaksin sebelum kita boleh membuat apa sahaja keputusan.

"Ini semua sedang dibincangkan dan tempat penyimpanan yang memerlukan suhu rendah juga dalam perbincangan.

"Saya rasa ini adalah antara cabaran yang ada tetapi paling penting kajian data sebelum membuat apa sahaja komitmen," katanya semasa sidang media pada Selasa.

BACA: COVID-19: Keberkesanan vaksin Pfizer petanda awal kejayaan perang lawan pandemik

BACA: 
COVID-19: Akhirnya, saintis temui vaksin keberkesanan sehingga 90 peratus

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam kenyataan di laman web rasmi Pfizer memaklumkan, vaksin buatan Pfizer dan BioNTech didapati menunjukkan 90 peratus keberkesanan dalam mengelak jangkitan COVID-19.

Menurut Pfizer, vaksin jenis mRNA itu terbukti mampu mengelak jangkitan COVID-19 bagi hampir kesemua individu yang mengambil bahagian dalam ujian klinikal fasa ketiga.

Namun, laporan turut menyatakan, ia perlu disimpan pada suhu mencecah 70 Celsius di bawah paras beku sebelum boleh digunakan dan ketika ia dalam perjalanan ke destinasi.

Keperluan suhu yang amat rendah itu membuatkan amat sukar untuk ia digunakan di kebanyakan negara dunia termasuklah negara maju seperti Amerika Syarikat.