WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance pada Isnin mengulangi dakwaannya bahawa Iran bersetuju membenarkan pemeriksa nuklear kembali ke negara itu, namun Tehran menafikan membuat sebarang komitmen baharu berhubung program nuklearnya, lapor Anadolu Ajansi.
"Kita kini mempunyai Iran yang membenarkan pemeriksa senjata dan pemeriksa nuklear memasuki negara mereka buat kali pertama selepas sekian lama.
"Sudah tentu kita akan memperkukuh rejim pemeriksaan itu bagi memastikan mereka tidak akan memiliki senjata nuklear," kata Vance kepada pemberita sebelum berlepas dari Switzerland selepas mengadakan rundingan dengan pegawai Iran.
Beliau berkata, pusingan baharu rundingan di Burgenstock telah mewujudkan "asas kepada apa yang berpotensi menjadi Timur Tengah yang benar-benar berubah", namun menegaskan bahawa perjanjian muktamad masih belum dicapai.
Bagaimanapun, agensi berita Fars, pada Isnin menafikan dakwaan Vance bahawa Tehran telah bersetuju membenarkan pemeriksa daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kembali memasuki negara itu.
Perbincangan di peringkat teknikal antara pasukan AS dan Iran dijangka diteruskan dalam beberapa hari akan datang, dengan kedua-dua pihak kekal berada di Switzerland bagi meneruskan rundingan.
"Kami terus mencapai kemajuan dalam rundingan teknikal ini. Ramai anggota pasukan kami masih berada di pusat peranginan itu, begitu juga pihak Iran, untuk meneruskan kerja yang sedang dilakukan.
"Saya berasa gembira dengan kemajuan yang dicapai sejak beberapa hari lalu," kata Vance.
Beliau berkata, perbincangan itu turut membantu mewujudkan mekanisme bagi memastikan Selat Hormuz kekal terbuka, yang menurutnya menyumbang kepada penurunan harga minyak.
"Kami menganggarkan kira-kira 15 juta tong minyak melalui laluan itu. Itulah antara sebab harga minyak rendah ketika ini," kata beliau sambil menambah bahawa harga bahan api dijangka terus menurun.
Vance turut berkata, rundingan berkenaan menghasilkan satu kerangka bagi menguruskan gencatan senjata serantau dan menyelaras kerjasama dengan sekutu AS di seluruh Asia Barat.
Mengenai pengesahan pematuhan nuklear, beliau berkata, kesediaan Iran menerima kehadiran pemeriksa merupakan satu perkembangan penting, namun dasar AS akan terus tertumpu kepada aspek pengesahan.
"Anda tidak boleh bergantung kepada kata-kata sesiapa. Anda perlu melihat kepada tindakan mereka.
"Membenarkan pemeriksa masuk adalah perkara besar, tetapi kita perlu melihat apa yang sebenarnya dibenarkan kepada pemeriksa itu sebaik sahaja mereka berada di dalam negara berkenaan," katanya.
Ketika ditanya mengenai kenyataannya sebelum ini berhubung pelepasan aset Iran yang dibekukan untuk pembelian kacang soya dari AS, Vance berkata, Washington telah meminta bantuan Qatar bagi mewujudkan mekanisme yang dapat memastikan dana berkenaan digunakan bagi tujuan yang dipersetujui.
AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman secara jarak jauh minggu lalu, sekali gus membuka tempoh rundingan selama 60 hari bagi menyelesaikan pertikaian termasuk mengenai simpanan uranium diperkaya Iran, program nuklear negara itu dan beberapa isu lain yang masih belum dimuktamadkan.
Dokumen 14 perkara itu menggesa penamatan segera dan berkekalan operasi ketenteraan di semua medan konflik termasuk Lubnan, penamatan sekatan laut terhadap Iran serta jaminan laluan selamat kepada kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.
Dokumen itu turut merangkumi pelan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion, pengecualian sekatan eksport minyak, pelepasan aset Iran yang dibekukan serta penegasan semula oleh Tehran bahawa ia tidak akan membangunkan senjata nuklear.
-- BERNAMA-ANADOLU