Varian baharu pacu peningkatan kes influenza di Eropah - WHO

WHO memaklumkan musim influenza bermula kira-kira empat minggu lebih awal berbanding musim-musim sebelumnya. - Gambar fail/Reuters
OSLO: Influenza merebak di rantau Eropah lebih awal daripada kebiasaan pada musim sejuk ini, dengan varian dominan baharu A(H3N2) meningkatkan tekanan ke atas sistem kesihatan di beberapa negara, menurut Pejabat Serantau Eropah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Influenza merebak di Eropah lebih awal musim ini, varian A(H3N2) mencetus tekanan ke atas sistem kesihatan.
- 27 daripada 38 negara melaporkan aktiviti influenza tinggi atau sangat tinggi, dengan beberapa negara mencatat separuh pesakit disahkan positif influenza.
- WHO menegaskan vaksin influenza berkesan dalam mengurangkan risiko kesan serius, namun jangkitan mungkin tidak dielakkan sepenuhnya; vaksinasi kekal penting terutama bagi kumpulan risiko tinggi.
Di Ireland, Kyrgyzstan, Montenegro, Serbia, Slovenia dan United Kingdom (UK), lebih separuh daripada pesakit yang diuji bagi simptom seakan selesema disahkan positif influenza.
"Selesema berlaku setiap musim sejuk, namun tahun ini sedikit berbeza," kata Pengarah Serantau WHO bagi Eropah, Hans Henri P. Kluge.
Beliau berkata varian baharu, subclade A(H3N2) K, menjadi pemacu utama jangkitan, sambil menegaskan tiada bukti bahawa varian itu menyebabkan penyakit yang lebih teruk.
WHO memaklumkan varian berkenaan kini merangkumi sehingga 90 peratus daripada semua kes influenza yang disahkan di rantau itu.
WHO berkata data awal dari UK menunjukkan vaksin influenza semasa mengurangkan risiko akibat kesihatan yang serius daripada A(H3N2), walaupun vaksinasi mungkin tidak sepenuhnya mencegah jangkitan.
Agensi itu mengulangi bahawa vaksinasi kekal sebagai langkah pencegahan paling penting bagi mengelakkan penyakit teruk, khususnya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang mempunyai penyakit sedia ada, wanita hamil dan kanak-kanak.
Petugas kesihatan turut disenaraikan sebagai kumpulan keutamaan.
WHO menjangkakan kes akan terus meningkat sehingga akhir Disember atau awal Januari, sambil menambah bahawa kebanyakan pesakit akan pulih dengan sendiri.
Namun, individu yang mengalami simptom teruk atau mempunyai masalah kesihatan lain disarankan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


