Venezuela mulakan pembebasan banduan politik di bawah pentadbiran interim

Ridriguez berkata, pentadbiran Bolivarian memutuskan untuk membebaskan sejumlah besar banduan Venezuela dan antarabangsa. - Gambar fail Reuters
BOGOTA (Colombia): Ketua Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez mengumumkan pada Khamis yang negara itu memulakan proses membebaskan individu yang ditahan atas alasan politik, termasuk tahanan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.
Pembebasan itu merupakan tindakan awal pentadbiran interim yang dipimpin oleh Delcy Rodriguez.
Beliau mengambil alih kawalan sementara negara susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) pada 3 Jan yang membawa kepada penahanan bekas Presiden Nicolas Maduro dan isterinya Cilia Flores, yang dibawa ke AS untuk menghadapi proses keadilan.
Jorge Rodriguez menjelaskan bahawa pentadbiran berkenaan memutuskan untuk membebaskan kumpulan "yang besar" terdiri daripada tahanan tempatan dan asing. Beliau berkata langkah itu bertujuan menyokong inisiatif lebih luas ke arah "pendamaian nasional".
"Pentadbiran Bolivarian memutuskan untuk membebaskan sejumlah besar banduan Venezuela dan antarabangsa, dan proses pembebasan ini sedang berlangsung," kata Rodriguez dalam ucapan video nasional yang disiarkan oleh rangkaian milik kerajaan, TeleSur.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares mengesahkan yang lima warga Sepanyol, termasuk seorang yang mempunyai dwikewarganegaraan telah dibebaskan.
Kumpulan itu kini bekerjasama dengan Kedutaan Sepanyol di Caracas bagi memuktamadkan kepulangan mereka ke Sepanyol.
"Kerajaan Sepanyol menyambut baik pembebasan lima warga Sepanyol di Caracas hari ini, termasuk seorang pemegang dwikewarganegaraan yang kini sedang membuat persiapan untuk pulang dengan sokongan diplomatik," katanya.
Menteri luar itu menjelaskan yang identiti individu berkenaan dikenal pasti.
Antara yang dibebaskan ialah Miguel Moreno Dapena, Andres Martinez Adasme, Jose Maria Basoa dan Ernesto Gorbe Cardona. Laporan turut menyatakan yang kumpulan yang dibebaskan itu termasuk aktivis Sepanyol-Venezuela, Rocio San Miguel.
Dijangkakan proses pembebasan akan berterusan sehingga Jumaat.
Pentadbiran berkenaan bagaimanapun belum mengeluarkan senarai yang mengesahkan identiti semua individu yang dibebaskan.
Menurut laporan terkini NGO Foro Penal, terdapat 863 banduan politik di negara itu, termasuk 86 warga asing atau individu dengan dwikewarganegaraan. Pendirian kerajaan Venezuela adalah mereka dipenjarakan atas "melakukan kesalahan berat yang boleh dihukum".
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


