Skip to main content

Dunia

Venezuela, PBB sedia pelan pemulihan nasional dalam tempoh 60 hari susulan gempa bumi dahsyat

gempa, venezuela_AP
Pemerintah Venezuela berharap pelan itu akan menjadi panduan untuk menyelaras agensi nasional, agensi PBB dan rakan antarabangsa bagi memastikan proses pemulihan yang menyeluruh. - Gambar fail/AP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Venezuela sedang menyediakan pelan pemulihan dan pembinaan semula komprehensif peringkat nasional bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang akan diumumkan dalam tempoh 60 hari.

Langkah itu dilaksanakan ketika negara berkenaan beralih daripada tindak balas kemanusiaan kecemasan kepada usaha pembinaan semula jangka panjang berikutan kejadian gempa bumi berkembar yang mengorbankan lebih 5,300 nyawa.

Duta Venezuela ke Malaysia Radamés Gómez Azuaje berkata pelan berkenaan, yang berasaskan penilaian keperluan pascabencana bersama, bakal menetapkan keutamaan strategik pembangunan semula sosial, ekonomi dan infrastruktur negara.

Selain itu, ia turut berpandukan pemulihan perkhidmatan awam penting, sokongan kepada komuniti terjejas serta langkah memperkasakan daya tahan bencana.

“Pemerintah Venezuela berharap pelan ini akan menjadi panduan untuk menyelaras agensi nasional, agensi PBB dan rakan antarabangsa bagi memastikan proses pemulihan yang cekap, inklusif dan mampan,” katanya dalam program Bernama TV, Bernama World: "Venezuela Earthquake: One Month On", yang disiarkan pada Isnin.

Azuaje berkata Program Pembangunan PBB (UNDP) akan menyelaras keseluruhan usaha pemulihan, manakala rakan kejuruteraan antarabangsa memimpin pembinaan semula infrastruktur serta membekalkan jentera berat bagi kerja pembersihan sisa runtuhan.

Beliau berkata pasukan tempatan akan memantau kerja pembersihan sisa runtuhan di peringkat komuniti, manakala Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menguruskan tempat perlindungan sementara dan projek pemulihan perumahan.

Menurut Azuaje, Venezuela turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Eropah dalam kesiapsiagaan dan pengurusan krisis bagi memperkukuh kerjasama teknikal antarabangsa, mempercepat sokongan logistik pembinaan semula serta memudah cara kerjasama bilateral dan bantuan kemanusiaan secara langsung untuk komuniti terjejas.

Meskipun pasukan penyelamat dan perubatan antarabangsa telah menyelesaikan misi dan berlepas pulang, beliau berkata pihak berkuasa Venezuela meneruskan usaha mengesan mangsa yang hilang serta meletakkan keutamaan kepada membawa keluar mayat mereka yang belum ditemukan.

"Pada masa sama, bantuan kemanusiaan terus tiba di Venezuela. Kami menerima bekalan perubatan, barangan penjagaan diri, makanan dan jentera dari pelbagai pelosok dunia termasuk Mexico, Turkiye dan Sepanyol," katanya.

Azuaje berkata, kerja roboh terkawal ke atas bangunan yang rosak telah dimulakan mengikut peraturan keselamatan bagi membolehkan operasi pencarian disambung semula di kawasan yang dipercayai masih terdapat mayat terperangkap.

Beliau berkata kerajaan telah mendirikan 107 kem sementara di tujuh negeri yang terjejas teruk akibat gempa bumi berkembar itu, di samping terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi menyokong penduduk yang terpaksa berpindah.

Bagi menangani impak psikologi susulan bencana berkenaan, Azuaje berkata lebih 30,000 penjawat awam termasuk pakar psikologi telah digerakkan ke kawasan terjejas sejak hari pertama tragedi itu berlaku.

Beliau berkata kerajaan juga melaksanakan Pelan Rekreasi Cuti Nasional 2026, yang menyaksikan lebih 9,000 sukarelawan dan pekerja rekreasi menganjurkan aktiviti sukan, kebudayaan dan rekreasi untuk membantu kanak-kanak, warga emas serta keluarga bangkit daripada trauma.

Mengulas mengenai langkah ke depan, Azuaje berkata Venezuela akan memanfaatkan sumber kewangannya sendiri yang disimpan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula.

"Ini merupakan peluang untuk membangunkan infrastruktur, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada gempa bumi, agar memenuhi standard moden dengan pengetahuan, sains dan kejuruteraan dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat untuk memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan tindak balas yang pantas," katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Venezuela supaya mengekalkan perpaduan dan harapan ketika negara itu sedang dibina semula.

“Ia adalah mesej kepercayaan - kepercayaan kepada pemerintah Venezuela dan institusi negara Venezuela yang bekerja tanpa henti untuk memberikan tindak balas sewajarnya terhadap cabaran besar yang ditinggalkan oleh tragedi ini di setiap peringkat sama ada nasional, sosial, keluarga mahupun peribadi,” katanya.

Azuaje berkata tragedi itu telah menyerlahkan tahap solidariti dan perpaduan yang luar biasa dalam kalangan rakyat Venezuela.

“Oleh itu, kami menyeru agar perpaduan dan harapan terus dipelihara supaya kita menjadi pendorong kepada kebangkitan semula Venezuela,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement