INTERNATIONAL
Victoria larang penjualan parang susulan insiden keganasan di Melbourne

Larangan ini menjadikan Victoria negeri pertama di Australia yang mengharamkan penjualan dan pemilikan parang. -Gambar hiasan/Sinar Harian
MELBOURNE: Kerajaan negeri Victoria di Australia mengumumkan larangan penjualan parang berkuat kuasa Rabu, susulan insiden pergaduhan ganas melibatkan kumpulan bersenjata di sebuah pusat beli-belah di Melbourne pada hujung minggu lalu.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Victoria, Australia, mengharamkan penjualan parang bermula Rabu susulan insiden pergaduhan ganas di Melbourne, sebagai langkah keselamatan awam dan pencegahan jenayah senjata tajam.
- Larangan ini menjadikan Victoria negeri pertama di Australia yang mengharamkan penjualan dan pemilikan parang, dengan hukuman penjara hingga dua tahun dan denda lebih AUD47,000 bagi pemilikan tanpa kebenaran, berkuat kuasa 1 September.
- Kerajaan turut mengumumkan tempoh amnesti tiga bulan untuk penyerahan parang tanpa tindakan undang-undang, selepas insiden melibatkan lapan individu bersenjata parang yang mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah bersenjata tajam.
Larangan ini menjadikan Victoria sebagai satu-satunya negeri di Australia yang melarang penjualan parang, yang secara umum didefinisikan sebagai pisau berbilah lebih 20 sentimeter. Pisau dapur tidak termasuk dalam larangan ini.
Selain larangan penjualan, pemilikan parang juga akan diharamkan mulai 1 September, dengan beberapa pengecualian tertentu.
Mereka yang memiliki parang tanpa kebenaran boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda lebih AUD47,000 (kira-kira RM144,000).
Kerajaan negeri itu turut mengumumkan tempoh amnesti selama tiga bulan bagi membolehkan orang ramai menyerahkan parang mereka di balai polis atau tempat pelupusan khas tanpa dikenakan tindakan undang-undang.
Insiden pergaduhan di Melbourne yang melibatkan lapan individu bersenjata parang telah mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah bersenjata tajam di Australia.
Empat suspek telah ditahan dan didakwa, termasuk dua remaja berusia 15 dan 16 tahun.
Australia terkenal dengan undang-undang senjata api yang ketat, namun jenayah melibatkan pisau semakin meningkat.
Beberapa negeri lain seperti New South Wales dan Queensland telah melarang penjualan pisau kepada kanak-kanak, tetapi Victoria kini mengambil langkah lebih tegas dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan pemilikan parang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami