DUNIA
Vietnam catat kemasukan lebih 9.2 juta pelancong asing dalam lima bulan pertama

Pelancong menikmati pemandangan indah di tepi Tasik Hoan Kiem, di Hanoi, 27 Mei 2025. Pihak berkuasa pelancongan Vietnam berkata usaha promosi akan diteruskan bagi mencapai sasaran 22 hingga 23 juta pelancong antarabangsa pada 2025. - REUTERS
HANOI: Vietnam menerima lebih 9.2 juta pelancong antarabangsa dalam lima bulan pertama 2025, meningkat 21.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan Malaysia berada dalam kelompok 10 pasaran utama, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Pihak Berkuasa Pelancongan Kebangsaan Vietnam (VNAT).
Pada Mei sahaja, negara itu mencatatkan ketibaan 1.53 juta pelancong asing, meningkat 10.5 peratus berbanding tahun lalu.
Pengendali pelancongan menyifatkan angka ini sebagai pencapaian kukuh meskipun musim kemuncak pelancongan telah berakhir, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi 10 tahun bagi bulan itu.
Hasil pelancongan dari Januari hingga Mei dianggarkan mencecah VN$38.4 trilion (US$1.47 bilion), meningkat 24.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.Perjalanan udara menyumbang 85.2 peratus daripada ketibaan, diikuti dengan laluan darat (12.9 peratus) dan laut (1.9 peratus).
Meskipun mempunyai garis pantai yang panjang dan infrastruktur pelabuhan, VNAT memaklumkan bahawa pelancongan maritim masih belum diterokai sepenuhnya.
China kekal sebagai pasaran utama dengan 2.36 juta pelawat, diikuti Korea Selatan dengan lebih 1.9 juta.
Pasaran utama lain termasuk Taiwan (533,000), Amerika Syarikat (375,000), Jepun (342,000), Kemboja (325,000), India (272,000), Australia (241,000), Malaysia (221,000) dan Rusia (210,000).
Pihak berkuasa pelancongan Vietnam berkata bahawa usaha promosi akan diteruskan bagi mencapai sasaran 22 hingga 23 juta pelancong antarabangsa pada 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami