Skip to main content

Dunia

Vietnam jadi pasaran penerbangan komersial kedua terbesar Asia Tenggara

81745251235_TanSonNhatAirport.jpg
Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Ho Chi MInh City. Vietnam naik ke kedudukan kedua dengan 7.3 juta tempat duduk, meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya. - Gambar fail
Advertisement

HANOI: Vietnam mengatasi Thailand untuk menjadi pasaran penerbangan komersial kedua terbesar di Asia Tenggara berdasarkan kapasiti tempat duduk yang tersedia pada Ogos, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik OAG, penyedia data dan analitik penerbangan global.

Vietnam naik ke kedudukan kedua dengan 7.3 juta tempat duduk, meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, kadar pertumbuhan terpantas dalam kalangan pasaran penerbangan Asia Tenggara yang dianalisis oleh OAG.

Menurut OAG, peningkatan itu mencerminkan permintaan perjalanan yang semakin meningkat di Vietnam, selain kelebihan negara itu yang mempunyai beberapa lapangan terbang utama untuk menyediakan perkhidmatan kepada penumpang di seluruh negara.

OAG turut mengetengahkan kerjasama antara syarikat pelancongan Vietnam dengan syarikat penerbangan sebagai antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan itu. Syarikat pengendali pelancongan kerap menempah tempat duduk dalam jumlah yang besar serta menjalankan kempen promosi dan pemasaran bersama, sekali gus membantu syarikat penerbangan mengisi tempat duduk dengan lebih cepat.

Penambahan destinasi baharu turut membuka lebih banyak ruang untuk rangkaian penerbangan antarabangsa Vietnam berkembang.

Dalam Taklimat Pasaran Penerbangan Asia Tenggara bagi Ogos, OAG menyatakan Indonesia kekal sebagai pasaran penerbangan terbesar di rantau ini dengan 11 juta tempat duduk, meningkat 4.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Thailand menduduki tempat ketiga dengan 7.2 juta tempat duduk, turun 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kapasiti tempat duduk turut menurun di Malaysia dan Filipina yang masing-masing mencatatkan 5.4 juta dan 4.8 juta tempat duduk, susut 6.4 peratus dan 5.7 peratus.

-- BERNAMA-VNA

Must Watch Video

Advertisement