SHAH ALAM: Seiring dengan kepesatan ekonomi digital negara yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM2.03 trilion, Malaysia kini berdepan desakan kritikal untuk membina benteng pertahanan sibernya sendiri daripada ancaman serangan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Kebergantungan digital yang semakin mendalam bermakna negara tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada teknologi luar, sebaliknya memerlukan generasi baharu pakar tempatan yang mampu menangkis serangan siber yang semakin kompleks.
Senario ini menyahut amaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen awal bulan ini, yang menekankan keperluan mendesak melindungi infrastruktur kritikal negara seperti sektor tenaga, pengangkutan, kewangan, dan bekalan makanan daripada ancaman siber.
Menyedari hakikat keselamatan siber kini adalah soal kedaulatan negara, pemain industri teknologi tempatan, Sapura dan Velum Labs mengambil langkah proaktif memeterai kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura yang juga Pengasas Velum Labs, Tan Sri Shahril Shamsuddin menegaskan, keupayaan pertahanan siber yang berdaulat mesti dibina berteraskan kepakaran anak tempatan.
"Keselamatan siber kini soal keselamatan negara, daya tahan ekonomi dan kedaulatan. Di Sapura, lebih 90 peratus pakar siber kami ialah graduan universiti tempatan.
"Malaysia perlu melahirkan pakar pertahanan siber yang memahami taktik penyerang beroperasi dan berupaya bertindak balas dengan pantas, pertimbangan yang tepat dan penuh keyakinan," katanya.
Kerjasama industri-akademia itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Velum Labs dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM, dengan sokongan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Ia merangkumi pelaksanaan latihan industri berstruktur, perkongsian kepakaran operasi barisan hadapan, serta penyelidikan bersama yang menyokong langsung Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030.
Sebagai serampang dua mata dalam mengenal pasti bakat baharu, Sapura dan Velum Labs turut menjadi penaja utama pertandingan iHACK 2026 yang berlangsung di UiTM Shah Alam pada 17 dan 18 Nov.
Platform berkonsepkan Capture-the-Flag (CTF) itu menguji keupayaan 396 pelajar daripada 32 kampus universiti seluruh negara dengan senario ancaman dunia sebenar, dipantau oleh pakar industri yang turut mengendalikan operasi Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4).