Skip to main content

Dunia

Volvo bakal kurangkan 2,500 lagi pekerja susulan kerugian suku ketiga

Jualan syarikat itu merosot hampir 25 peratus kepada 66.9 bilion krona, manakala kerugian sebelum faedah dan cukai berjumlah 5.6 bilion krona berbanding keuntungan operasi sebanyak 6.4 bilion krona pada tempoh sama tahun sebelumnya. - Gambar fail
Jualan syarikat itu merosot hampir 25 peratus kepada 66.9 bilion krona, manakala kerugian sebelum faedah dan cukai berjumlah 5.6 bilion krona berbanding keuntungan operasi sebanyak 6.4 bilion krona pada tempoh sama tahun sebelumnya. - Gambar fail

Advertisement

FRANKFURT: Volvo Cars pada Jumaat mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kira-kira 2,500 lagi pekerja di seluruh dunia susulan prestasi kewangan yang merosot pada suku ketiga, ketika Ketua Pegawai Eksekutifnya Hakan Samuelsson berusaha mengurangkan perbelanjaan tahunan sebanyak kira-kira lima bilion krona Sweden (US$503.5 juta), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut Volvo, kira-kira 2,000 daripada pengurangan jawatan itu melibatkan pekerja di Sweden, negara asal pengeluar kereta berkenaan.

Syarikat itu merancang untuk mengurangkan tenaga kerjanya  menerusi pengurangan secara semula jadi apabila pekerja meninggalkan syarikat, penamatan kontrak perunding serta tawaran pakej pemberhentian kerja kepada pekerja.

Pengeluar kereta yang dikawal oleh Geely dari China itu mencatatkan kerugian pada suku ketiga, sebahagiannya disebabkan cabaran dalam pasaran China.

Volvo mencatat penghantaran kira-kira 141,300 kenderaan di seluruh dunia dalam tempoh tiga bulan berakhir September, menyusut 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jualan syarikat itu merosot hampir 25 peratus kepada 66.9 bilion krona, manakala kerugian sebelum faedah dan cukai berjumlah 5.6 bilion krona berbanding keuntungan operasi sebanyak 6.4 bilion krona pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Kerugian bersih pula mencecah 5.7 bilion krona, berbanding keuntungan bersih sebanyak 4.5 bilion krona setahun sebelumnya.

Pada awal Oktober, Samuelsson menarik balik unjuran prestasi tahunan syarikat itu selepas menyifatkan keputusan kewangan suku ketiga sebagai mengecewakan dalam sepucuk surat kepada pemegang saham.

Beliau berkata kelemahan pasaran China diburukkan lagi oleh prestasi yang kurang memberangsangkan di Amerika Syarikat (AS), menyebabkan separuh daripada perniagaan kumpulan itu tidak menyumbang kepada keuntungan.

Samuelsson turut menyatakan bahawa pasaran bagi jenama premium Volvo yang sudah bertapak di China mengalami kemerosotan ketara, dengan jualannya di negara itu menyusut hampir separuh berbanding tempoh sama tahun lepas.

Di AS, tarif import terhadap kereta keluaran Kesatuan Eropah (EU) serta penamatan insentif pembelian kenderaan elektrik terus memberi tekanan kepada prestasi Volvo.

Samuelsson sebelum ini turut melaksanakan pengurangan pekerja pada tahun lepas, menjadikan purata tenaga kerja syarikat itu kira-kira 39,300 orang dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, berbanding 43,000 orang bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement