Skip to main content

Dunia

Wabak Ebola di Congo bertambah buruk, catat rekod baharu - WHO

alth workers disinfects an ambulance at Ebola Treatment Center at Bunia General Hospital in Ituri, Congo, Wednesday, July 22, 2026. (AP Photo/Dirole Lotsima Dieudonne)
Menurut WHO, dalam tempoh seminggu lalu, 567 kes jangkitan baharu dan 296 kematian direkodkan, iaitu angka tertinggi bagi tempoh seminggu setakat ini. (Foto AP)
Advertisement

GENEVA: Walaupun pelbagai usaha dijalankan sejak beberapa minggu lalu, wabak Ebola di Afrika Tengah bukan sahaja masih belum dapat dikawal, malah semakin buruk di Republik Demokratik Congo, dengan risiko penularannya ke negara jiran turut meningkat, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata wabak berkenaan kini merupakan yang terbesar pernah dialami negara itu.

"Peningkatan besar dalam usaha tindak balas diperlukan untuk membendung penularan wabak ini," menurut WHO dalam kenyataan yang diterbitkan pada Sabtu.

WHO memaklumkan bahawa dalam tempoh seminggu lalu, jumlah jangkitan baharu sebanyak 567 kes dan 296 kematian direkodkan, iaitu angka tertinggi bagi tempoh seminggu setakat ini.

Secara keseluruhan, WHO melaporkan 3,605 kes yang disahkan melalui ujian makmal, termasuk 1,587 kematian. Seramai 651 pesakit pula berjaya pulih daripada jangkitan itu.

Wabak terbesar sebelum ini di Congo berlaku antara 2018 hingga 2020, dengan 3,317 kes disahkan.

Wabak semasa melibatkan varian Bundibugyo, yang sehingga kini masih belum mempunyai vaksin yang diluluskan. Ujian klinikal bagi vaksin yang baharu dibangunkan sedang dijalankan.

WHO berkata angka yang lebih tinggi itu sebahagiannya berpunca daripada pemantauan yang lebih baik dan peningkatan ujian makmal.

"Bagaimanapun, sebahagian besar peningkatan itu mencerminkan penularan wabak yang semakin meluas," menurut kenyataan itu.

Hanya sehingga 80 peratus individu yang dijangkiti dipantau selama tiga minggu, sedangkan pakar berpendapat kadar pemantauan sekurang-kurangnya 95 peratus diperlukan.

Petugas kesihatan awam turut berdepan situasi keselamatan yang sukar akibat konflik pemberontak, ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan tahap ketidakpercayaan yang tinggi dalam kalangan penduduk.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement