CEBU: ASEAN telah membuktikan sejak beberapa dekad bahawa waktu sukar tidak melemahkan blok serantau itu, sebaliknya memperkukuh tekad untuk bekerjasama dengan lebih erat, kata Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
Marcos yang juga Pengerusi ASEAN tahun ini berkata, cabaran turut mendorong blok itu untuk mendengar dengan lebih teliti dan bertindak secara lebih terarah.
“Jika ada satu pengajaran yang ASEAN pelajari sejak beberapa dekad lalu, ia adalah waktu sukar tidak memecahbelahkan kita.
“Perhimpunan sidang kemuncak ini menjadi bukti komitmen itu,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, pada Jumaat.
Filipina mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Malaysia pada 1 Jan 2026 dengan tema “Navigating Our Future, Together”, memacu keutamaan ASEAN menerusi tiga tonggak iaitu Tunjang Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran serta Pemerkasaan Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara 11 pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak itu.
Marcos berkata, penglibatan dan perkongsian amat penting ketika berdepan waktu sukar, sambil menegaskan kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan berbanding keseragaman.
“Ketika kita memulakan tugas hari ini, semoga perbincangan kita dipandu oleh kebijaksanaan, keterbukaan dan komitmen berterusan antara satu sama lain,” kata beliau.
Mengenai konflik Asia Barat, Marcos berkata, keadaan tidak menentu itu memberi kesan kepada rantau ini, sekali gus menimbulkan cabaran yang mengancam cara hidup, mata pencarian dan pemikiran rakyat.
“Sejak beberapa bulan lalu, setiap negara kita perlu membuat penyesuaian dalam pendekatan masing-masing.
"Maka, kita berhimpun untuk meneliti penyesuaian itu, mencari pendekatan terbaik dan menghadapi masa depan bersama-sama,” katanya.
Marcos berkata, Filipina membuat keputusan sukar untuk menyelaraskan semula kepengerusiannya sebagai respons terhadap konflik Asia Barat, termasuk mengecilkan skala aktiviti tidak penting dan menukar mesyuarat tertentu daripada pertemuan fizikal kepada platform maya.
Beliau berkata, negara kepulauan itu berusaha untuk terus responsif terhadap keperluan komuniti ASEAN dan memberi tumpuan kepada usaha mencapai matlamat kepengerusiannya.
“Usaha ASEAN mesti diteruskan, bukan sekadar untuk mengharungi cabaran, tetapi kerana keadaan semasa menuntut kita mencari jawapan demi rakyat, negara dan ASEAN,” kata Marcos.
-- BERNAMA