SEORANG wanita yang menyamar sebagai jururawat di Brazil berdepan hukuman penjara belasan tahun selepas didakwa menjual vaksin COVID-19 palsu sehingga meraih keuntungan sehingga RM22,764.11.

Memetik laporan portal The Sun, suspek yang dikenali sebagai Claudia Monica Pinheiro Torres didakwa menyamar sebagai seorang jururawat dan memberikan suntikan vaksin palsu dengan harga RM426.50 bagi setiap suntikan di Belo Horizaonte, Brazil.

Menurut pihak polis, suspek telah memberikan vaksin palsu itu kepada sekurang-kurangnya 57 orang bulan lalu.

Berdasarkan laporan awal, suspek merupakan seorang pengasuh yang menyamar sebagai seorang jururawat dan tiada rekod berkenaan dirinya dalam data Badan Rawatan Daerah Minas Gerais.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan ada catatan suspek memasuki beberapa premis di Gutierrez pada 5 dan 22 Mac lalu.

Selain mengunjungi rumah, suspek juga didakwa memberikan suntikan vaksin kepada 40 orang lain di sebuah syarikat perusahaan perkhidmatan bas.

Suspek juga didakwa memalsukan, merosakkan dan mengubah produk ubat-ubatan bagi tujuan pemalsuan vaksin tersebut.