DUNIA
Waran tangkap dikeluarkan ke atas bekas Presiden Korea Selatan Yoon

Yoon tiba di mahkamah bagi menghadiri sesi pendengaran semakan waran tangkap yang dimohon oleh pasukan pendakwaan khas di Seoul. - Foto REUTERS
SEOUL: Mahkamah Daerah Pusat Seoul telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, berhubung cubaan beliau untuk melaksanakan undang-undang tentera pada Disember tahun lalu.
Tindakan ini menandakan kali kedua Yoon ditahan, selepas beliau sebelum ini dibebaskan atas alasan teknikal pada Mac lalu.
Waran tersebut dikeluarkan selepas sesi pendengaran selama tujuh jam pada Rabu, di mana pasukan pendakwaan khas yang diketuai oleh Cho Eun-suk mengemukakan lima pertuduhan utama terhadap Yoon.
Antara dakwaan tersebut termasuk penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dokumen rasmi, dan cubaan menghalang siasatan dengan memusnahkan bukti.Yoon didakwa telah mengarahkan pengeluaran dokumen palsu berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera, yang ditandatangani oleh Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ketika itu, sebelum dokumen tersebut dilupuskan.
Beliau juga dituduh mengarahkan jurucakap presiden untuk menyebarkan kenyataan palsu kepada media asing serta mengarahkan penghapusan rekod panggilan daripada telefon selamat yang digunakan oleh pegawai tentera kanan.
Mahkamah menyatakan bahawa waran tangkap dikeluarkan atas kebimbangan Yoon mungkin akan memusnahkan bukti penting dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Beliau kini ditempatkan semula di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan ibu negara.
Yoon telah disingkirkan daripada jawatan presiden oleh Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan pada April lalu, selepas Parlimen meluluskan pemecatannya berikutan cubaan menggugat pemerintahan awam melalui pengisytiharan undang-undang tentera.
Pasukan pendakwaan khas dijangka mempercepatkan siasatan terhadap Yoon, termasuk dakwaan bahawa beliau sengaja meningkatkan ketegangan dengan Korea Utara demi kepentingan politik peribadi.
Lebih 1,000 penyokong Yoon dilaporkan berhimpun di luar mahkamah semasa sesi pendengaran, menunjukkan sokongan mereka dalam suhu panas melebihi 35 darjah Celsius.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami