Skip to main content

Dunia

Warga Kemboja rugi RM176 juta kepada sindiket penipuan dalam talian tahun lepas

61751336054_scam.jpg
Kurang daripada RM78 juta (AS$20 million) daripada jumlah kerugian itu berjaya diperoleh kembali, manakala baki selebihnya gagal dikesan. - Gambar fail

PHNOM PENH: Warganegara Kemboja kerugian lebih RM176 juta (AS$45 juta) akibat jenayah penipuan dalam talian domestik pada 2025, dengan sebilangan mangsa turut diperas ugut selepas dipaksa berkongsi kandungan eksplisit.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Sar Sokha memaklumkan pada Selasa bahawa terdapat mangsa yang bertindak membunuh diri akibat tekanan daripada pemerasan digital berkenaan, lapor agensi berita negeri Agence Kampuchea Presse.

Advertisement

Menurut beliau, kurang daripada RM78 juta (AS$20 million) daripada jumlah kerugian itu berjaya diperoleh kembali, manakala baki selebihnya gagal dikesan berikutan kecanggihan teknik yang digunakan penjenayah.

"Rasa malu dan aib yang dikaitkan dengan jenayah ini telah membawa kesan maut di Kemboja," kata Sokha semasa melancarkan kempen kebangsaan "Hari Internet Lebih Selamat 2026" di Universiti Pertanian Diraja di Phnom Penh.

Beliau turut mendedahkan peningkatan dalam kes penipuan menyamar sebagai pegawai bank, dengan sindiket memperdaya mangsa untuk memindahkan wang dengan dakwaan palsu kononnya mereka memenangi hadiah.

Pendedahan itu dibuat ketika Kerajaan Kemboja mempergiat operasi keselamatan bagi membanteras penipuan siber dan perjudian dalam talian haram di seluruh negara sejak tahun lepas.

Kebanyakan hab penipuan terlibat didakwa membabitkan sindiket jenayah antarabangsa dan dikendalikan oleh pencari kerja muda dari negara-negara Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Pihak berkuasa Kemboja telah mengusir lebih 3,300 warga asing dalam minggu pertama Februari selepas melancarkan kempen besar-besaran, "Operasi XXL" bagi membasmi ancaman berkenaan.

Dalam pada itu, kerajaan mengambil langkah proaktif minggu ini untuk menyekat penularan jenayah siber dengan meluluskan draf undang-undang anti-penipuan siber.

Perundangan itu bakal mewujudkan rangka kerja undang-undang yang lebih jelas bagi membanteras jenayah yang telah menarik perhatian antarabangsa dan menjejaskan imej Kemboja itu.

-- BERNAMA 

Must Watch Video