Wartawan foto Palestin maut dalam serangan Israel di Gaza

Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa wartawan foto Mahmoud Wadi maut dalam serangan dron Israel di tengah Khan Yunis, kawasan di luar zon kuning yang dikawal Israel. - Gambar fail/AP
BANDARAYA GAZA: Seorang wartawan Palestin maut dalam serangan Israel di selatan Semenanjung Gaza pada Selasa, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata di bawah Pelan Gaza Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Wartawan Palestin, Mahmoud Wadi, maut dalam serangan dron Israel di Khan Yunis, Gaza Selatan, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata yang dilaksanakan.
- Bapa Wadi, Issam, mengecam tentera Israel atas pembunuhan anaknya, menjelaskan serangan itu sebagai "gempa bumi yang menggegarkan khemah.
- Pejabat Media Kerajaan Gaza mengecam serangan sistematik Israel terhadap wartawan Palestin, menuntut pertubuhan media global dan masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan tersebut.
"Saya tidak pernah menjangka kehilangan Mahmoud, yang bukan sahaja anak saya tetapi juga seorang sahabat. Dia membesar di studio fotografi.
"Mahmoud merakam gambar di kawasan selamat (tidak di bawah kawalan Israel menurut perjanjian gencatan senjata), tetapi Israel tidak menghormati sebarang ikrar atau janji, seluruh hidup mereka penuh tipu daya dan pengkhianatan," katanya.
Issam menyifatkan pembunuhan anaknya sebagai "tindakan jenayah" dan menyalahkan tentera Israel atas insiden itu.
Rakan wartawan yang maut itu, Muhammad Abu Ubaid, koresponden Al-Alam TV di Gaza, berkata Wadi dikenali ramai kerana kerja kemanusiaannya.
"Dia mungkin tidak dikenali semua orang, tetapi golongan miskin dan mereka yang menderita mengenalinya kerana dia menumpukan masa untuk membantu mereka. Dia seorang yang berhati mulia," katanya.
Abu Ubaid berkata dia dan Wadi merancang untuk bertemu di Hospital Nasser di Khan Yunis tetapi kemudian dimaklumkan bahawa Wadi telah meninggal dunia.
"Dunia terus berdiam diri sementara tentera pendudukan terus membunuh wartawan walaupun selepas perjanjian gencatan senjata," katanya.
Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata kematian Wadi menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terkorban di Gaza sejak Oktober 2023 meningkat kepada 257 orang.
Pejabat itu mengecam apa yang digambarkan sebagai "serangan sistematik" Israel terhadap wartawan Palestin dan menegaskan Israel serta beberapa kerajaan Barat "bertanggungjawab sepenuhnya".
Pejabat itu turut menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan media global mengecam serangan berkenaan, sambil berkata seruan antarabangsa supaya Israel menghentikan tindakan menyasarkan wartawan tidak diendahkan.
Rakyat Palestin melihat tindakan berterusan menyasarkan wartawan sebagai usaha untuk menghalang liputan mengenai apa yang berlaku di wilayah itu.
Perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, menghentikan dua tahun serangan Israel yang telah meragut lebih 70,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa Gaza.
Israel didakwa melanggar perjanjian itu berulang kali dengan melepaskan tembakan ke arah orang awam di kawasan di luar kawalannya, manakala kumpulan Palestin Hamas berkata mereka kekal komited kepada perjanjian itu dan menggesa AS mendesak Israel mematuhinya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 356 rakyat Palestin terkorban dan lebih 900 cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata bermula.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

