Wartawan Myanmar ditahan di Thailand, bakal diusir pulang

Bernama
Mei 11, 2021 23:24 MYT
Wartawan DVB dibawa menaiki van selepas ditangkap di daerah San Sai dalam wilayah Chiang Mai, Thailand, 9 Mei, 2021. - Gambar fail AP
BANGKOK: Tiga wartawan Myanmar yang melarikan diri ke Thailand dan ditangkap di bandar Chiang Mai dihadapkan ke mahkamah pada Selasa kerana memasuki negara itu secara haram.
Ketiga-tiga wartawan yang bekerja untuk sebuah agensi berita dalam talian dan penyiaran DVB (Suara Demokratik Burma) ditahan bersama dua aktivis yang tidak disebutkan namanya pada Ahad.
Mereka akan dihantar pulang jika didapati bersalah.
Sebelumnya, kelima-lima mereka dibawa ke mahkamah di Chiang Mai pada Selasa tetapi media tempatan melaporkan kes itu ditangguhkan hingga 17 Mei sehingga mereka menemui peguam.
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Editor Eksekutif DVB Aye Chan Naing berkata mereka ditangkap semasa carian rawak dilakukan oleh polis dan didakwa kerana memasuki Thailand secara haram.
Aye merayu pihak berkuasa Thailand agar tidak menghantar mereka balik ke Myanmar.
"Nyawa mereka akan terancam jika mereka kembali. Mereka membuat liputan demonstrasi di Myanmar hingga 8 Mac - pada hari pihak berkuasa tentera menarik lesen TV DVB dan melarang DVB daripada membuat tugas-tugas berkaitan media.
"Kami juga merayu Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian di Bangkok supaya campur tangan untuk membantu memastikan keselamatan mereka.
"Kami meminta masyarakat antarabangsa untuk membantu meminta pihak berkuasa Thailand membatalkan tindakan pengusiran mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat di tweeter mengatakan pihak berkuasa Thailand juga prihatin dan berusaha mencari penyelesaian kemanusiaan terhadap kes wartawan dari Myanmar itu.
Meskipun lesennya ditarik pada 8 Mac, DVB terus melapor, menyiar kemas kini di laman Facebooknya mengenai tunjuk perasaan dan tindakan keras melampau di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari, termasuk protes anti kudeta yang ganas dengan lebih 770 orang terbunuh.
Sementara itu, anggota profesional Kelab Wartawan Asing Thailand (FCCT) bimbang dengan penangkapan lima individu itu.
"Mereka berlima akan berhadapan dengan penangkapan dan penganiayaan, khasnya kerana tugas dan hubungan mereka dengan DVB dan dalam keadaan apa pun mereka tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar.
"Dunia memerhatikan apa yang dilakukan pihak berkuasa Thailand dalam hal penting ini untuk kebebasan media di Myanmar dan wilayah itu, dan untuk perlindungan mereka yang melarikan diri daripada tindakan keras junta terhadap kebebasan media dan masyarakat awam," katanya.
-- BERNAMA
#Thailand #Myanmar #wartawan #aktivis #mahkamah #protes #tentera #keselamatan #polis #Bangkok #PBB #dvb #Suara Demokratik Burma #Chiang Mai #peguam #Democratic Voice of Burma