awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Bruno Fernandes kekal setia di Manchester United, tiada rancangan berpindah Januari Ini
Dari penolakan dan kemurungan: Janji kepada ibu, perjalanan luar biasa Igor Thiago ke Liga Perdana
Bendera 'Sang Saka Bangsa' berkibar di WTC, bermulanya PAU 2025
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Washington kenakan sekatan ke atas pembantu Khamenei, tuduh terlibat kekerasan terhadap penunjuk perasaan

Agensi
Agensi
15/01/2026
23:30 MYT
Washington kenakan sekatan ke atas pembantu Khamenei, tuduh terlibat kekerasan terhadap penunjuk perasaan
Amerika Syarikat mengenakan sekatan baharu terhadap Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran (SNSC), Ali Larijani yang disifatkan Washington sebagai “arkitek” tindak balas “kejam” Tehran terhadap gelombang protes.
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu terhadap Iran, menyasarkan pegawai politik dan keselamatan yang didakwa terlibat dalam tindakan keras terhadap penunjuk perasaan antikerajaan - ketika Presiden AS, Donald Trump, terus mengeluarkan ancaman kemungkinan campur tangan ketenteraan.
Sekatan diumumkan pada Khamis itu menyasarkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran (SNSC), Ali Larijani serta beberapa pegawai lain yang disifatkan Washington sebagai “arkitek” tindak balas “kejam” Tehran terhadap gelombang protes tersebut.
“Amerika Syarikat berdiri teguh bersama rakyat Iran dalam tuntutan mereka terhadap kebebasan dan keadilan,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam kenyataan.
“Di bawah arahan Presiden Trump, Jabatan Perbendaharaan mengenakan sekatan ke atas pemimpin utama Iran yang terlibat dalam tindakan keras terhadap rakyat.
"Kami akan menggunakan setiap instrumen yang ada bagi menyasarkan mereka yang berada di belakang penindasan hak asasi oleh rejim ini.”
Sekatan itu membekukan aset individu terbabit di Amerika Syarikat, selain melarang warga AS menjalankan sebarang bentuk urus niaga dengan mereka.
Dengan Iran sudah pun berdepan rangkaian sekatan berat, tindakan terbaharu ini dilihat lebih bersifat simbolik, namun, memberi isyarat peningkatan tekanan Washington terhadap Tehran.
Larijani merupakan penasihat rapat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Awal minggu ini, selepas Trump menggesa rakyat Iran “mengambil alih” institusi awam dan “menyimpan nama pembunuh serta pelaku penderaan”, Larijani membalas dengan menuduh Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai dalang kematian rakyat Iran.
“Kami mengisytiharkan pembunuh utama rakyat Iran: 1- Trump 2- Netanyahu,” tulisnya di platform X.
Beberapa kumpulan aktivis mendakwa ribuan penunjuk perasaan telah terbunuh sejak gelombang protes bermula awal tahun ini.
Kerajaan Iran pula menyifatkan mereka sebagai perusuh bersenjata yang didorong oleh AS dan Israel untuk mencetuskan kekacauan, mendakwa lebih 100 anggota keselamatan turut terbunuh dalam serangan bersenjata ketika demonstrasi berlangsung.
Al Jazeera tidak dapat mengesahkan angka tersebut secara bebas.
Tehran turut melaksanakan sekatan internet di seluruh negara, sekali gus menyukarkan pengesahan jumlah korban dan dakwaan kedua-dua pihak.
Pada Selasa, Channel 14 Israel yang menyokong Netanyahu melaporkan bahawa “aktor asing” membekalkan senjata kepada penunjuk perasaan di Iran bagi menyasarkan anggota kerajaan.
Selepas beberapa hari retorik dipertingkatkan, serangan AS terhadap Iran dilihat hampir berlaku lewat Rabu. Iran menutup ruang udara, beberapa bandar di Israel membuka kubu perlindungan bom, dan AS menarik sebahagian petugasnya dari rantau tersebut.
Tehran pula memberi amaran akan bertindak balas secara keras terhadap sebarang serangan Amerika.
Namun, ketika dunia menunggu kemungkinan serangan itu tercetus, Trump tiba-tiba meredakan nada, mendakwa beliau dimaklumkan bahawa pembunuhan penunjuk perasaan telah dihentikan.
“Mereka (pegawai Iran) beritahu saya bahawa orang menembak mereka menggunakan senjata api, dan mereka membalas tembakan,” kata Trump.
“Tetapi mereka memaklumkan tidak akan ada hukuman mati, dan saya berharap itu benar.”
Beliau mengulangi kenyataan itu pada Khamis, menyifatkan keputusan Iran untuk tidak melaksanakan hukuman mati ke atas penunjuk perasaan sebagai “perkhabaran baik.”
Pada Jun lalu, Israel melancarkan serangan tanpa provokasi terhadap Iran, mengorbankan puluhan pegawai kanan tentera dan saintis nuklear, selain ratusan orang awam.
Trump kemudian menyatakan bahawa beliau “sangat terlibat” dalam serangan itu, yang memuncak dengan Amerika Syarikat mengebom beberapa kemudahan nuklear utama Iran sebelum gencatan senjata dicapai.
Sebelum tercetusnya protes di Iran, Trump turut mengeluarkan amaran bahawa beliau akan mengebom negara itu sekali lagi sekiranya Tehran membina semula program nuklear atau peluru berpandu.
Amerika Syarikat pada masa sama mempertingkat tekanan ekonomi terhadap Iran, dengan sasaran menyekat sepenuhnya eksport minyak republik itu.
Pada Khamis, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan baharu terhadap 18 syarikat dan individu yang didakwa terlibat dalam eksport tenaga Iran. - Al Jazeera
Topic Berkaitan
#Protes Iran
#Ayatollah Ali Khamenei
#Amerika Syarikat
#Penunjuk perasaan
#Ali Larijani
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan