awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Dua maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Puncak Borneo
[KEMAS KINI] Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar dilepaskan, kes Zizie Izette diteruskan
Ketua PBB kecam tindakan Israel “ceroboh” pusat kesihatan UNRWA
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Dari penolakan dan kemurungan: Janji kepada ibu, perjalanan luar biasa Igor Thiago ke Liga Perdana

Muhamad Syazwan
Muhamad Syazwan
16/01/2026
02:20 MYT
Dari penolakan dan kemurungan: Janji kepada ibu, perjalanan luar biasa Igor Thiago ke Liga Perdana
Daripada seorang anak pemungut sampah yang pernah dihina, kepada pentas tertinggi bola sepak dunia, kisah Igor Thiago adalah simbol ketabahan. - Gambar Reuters
IGOR Thiago mungkin tidak pernah membayangkan bahawa namanya akan tercatat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris sebagai pemain Brazil dengan jumlah jaringan terbanyak dalam satu musim.
Namun sejak kecil, satu tekad sudah tertanam kukuh dalam dirinya tiada apa yang akan menghalangnya daripada menjadi pemain bola sepak profesional, demi menunaikan janji kepada ibunya.
Dibesarkan di Cidade Ocidental, sebuah pekan kecil di tengah Brazil, Thiago menyaksikan sendiri pengorbanan ibunya, Maria Diva, yang membesarkan empat orang anak seorang diri sambil bekerja sebagai pemungut sampah dengan gaji minimum.
Kehidupan mereka serba kekurangan, namun satu insiden di sebuah majlis keluarga menjadi detik yang mengubah hidupnya.
Pada majlis tersebut, setiap tetamu diminta membawa hidangan.
Namun Diva hadir dengan tangan kosong kerana tidak mampu. Kata-kata penghinaan daripada seorang saudara menyebabkan ibunya pulang dalam keadaan menangis.
Dalam perjalanan pulang, Thiago membuat satu janji tiada siapa akan menghina ibunya lagi, dan suatu hari nanti namanya akan dikenali dunia.
Namun laluan menuju kejayaan penuh liku. Thiago terpaksa menunggu sehingga usia 17 tahun untuk menandatangani kontrak profesional pertamanya selepas berdepan pelbagai penolakan dalam sesi pemilihan di seluruh Brazil.
Dalam tempoh itu, dia kerap hampir berputus asa.
Mentor sejak kecilnya, Sergio Goncalves mendedahkan, Thiago pernah menelefonnya lewat malam sambil menangis, mempertikaikan sama ada bola sepak benar-benar takdirnya.
Namun bagi Goncalves, Thiago dilahirkan untuk menjaringkan gol.
Bakatnya mula menyerlah ketika bersama Cruzeiro, tetapi pengalaman di kelab gergasi Brazil itu turut dipenuhi cabaran.
Cruzeiro ketika itu melalui tempoh paling gelap dalam sejarah mereka tekanan prestasi, masalah kewangan dan kelewatan pembayaran gaji memberi kesan besar, khususnya kepada pemain muda seperti Thiago.
Thiago sendiri mengakui pernah mengalami kemurungan dan terfikir untuk meninggalkan bola sepak sepenuhnya serta pulang ke kampung.
Namun sokongan ibunya dan anak-anaknya menjadi sumber kekuatan utama untuk terus bertahan.
Kebangkitan sebenar bermula pada awal 2022 apabila Thiago membuat keputusan berani berhijrah ke Eropah bersama Ludogorets di Bulgaria.
Walaupun kurang mendapat minit permainan pada awalnya, mentalitinya menarik perhatian barisan kejurulatihan. Dia sanggup beraksi bersama pasukan kedua demi mendapatkan perlawanan kompetitif.
Sikap profesional dan keinginan tinggi untuk berkembang akhirnya membuahkan hasil. Thiago menjaringkan 20 gol dalam satu musim bersama Ludogorets sebelum berpindah ke Club Brugge.
Di Belgium, dia terus meledak dengan 29 gol dalam satu-satunya musimnya, prestasi yang segera menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah.
Brentford kemudian memecahkan rekod perpindahan kelab dengan nilai 30 juta pound untuk membawa Thiago ke Liga Perdana Inggeris sebagai pengganti Ivan Toney. Bagi Thiago, perpindahan itu adalah realisasi impian yang disimpan sejak sekian lama.
Bekas rakan sepasukannya, Cauly, mendedahkan, Thiago sering menyuarakan hasrat untuk beraksi di Liga Perdana dan mengagumi Erling Haaland.
Kini, penyerang berusia 24 tahun itu bukan sahaja bermain di liga tersebut, malah bersaing secara langsung dengan Haaland dalam carta penjaring terbanyak.
Musim ini, Thiago telah menjaringkan 16 gol Liga Perdana dan berada di landasan tepat untuk menamatkan kempen dengan sekurang-kurangnya 20 gol pencapaian yang telah diraihnya dalam tiga daripada empat musimnya di Eropah.
Dengan Brazil masih mencari penyerang tulen menjelang Piala Dunia, nama Igor Thiago kini semakin kuat diperkatakan untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan. Bagi mereka yang mengenalinya sejak kecil, inilah saat yang telah lama dinantikan.
Daripada seorang anak pemungut sampah yang pernah dihina, kepada pentas tertinggi bola sepak dunia, kisah Igor Thiago adalah simbol ketabahan, kesabaran dan kekuatan mental, bukti bahawa janji seorang anak kepada ibunya mampu mengubah seluruh perjalanan hidup.
Topic Berkaitan
#Igor Thiago
#Brentford FC
#Brazil
#Liga Perdana Inggeris
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan