Indonesia adalah pengerusi ASEAN pada 2023. Temanya ialah ASEAN Matters: Epicentrum of Growth, selaras dengan kejayaan Indonesia menggalas jawatan presiden G20 pada 2022.
"Oleh itu, Indonesia yakin jika dapat memainkan peranan seperti ini, ASEAN menjadi pusat pertumbuhan di rantau ini. Ternyata dengan Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia, kami menunjukkan prestasi yang baik kali ini.
"Walaupun keadaan di Ukraine masih tidak menentu, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku walaupun pada tahun ini. Oleh itu, mungkin ada impak. China dan Taipei - terdapat juga situasi tidak menentu di sana.
"Bagaimanapun, ASEAN boleh menghadapinya untuk mengekalkan kestabilan di rantau ini dan ekonomi," katanya pada sesi bertajuk 'The Pulling Power of ASEAN' pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini pada Rabu.
Sesi itu dikendalikan oleh Editor Bersekutu dan Ketua Pengulas Hal Ehwal Luar The Financial Times Gideon Rachman.
"Misalnya, Indonesia dengan jumlah penduduk seramai 282 juta orang, Jakarta mampu mendepani keadaan dan eksport berjumlah AS$293 bilion. Ekonomi Indonesia dilihat berkembang pada 5.25 peratus pada 2022.
"Saya fikir apabila melihat pada 2021, ia sebanyak AS$233 bilion. Oleh itu, keyakinan terhadap Indonesia dan rantau ini adalah baik.
"Indonesia yang menganjurkan mesyuarat G20 dengan jayanya menjadi bukti bahawa ia boleh mengurus, walaupun terdapat pesimisme yang dilontarkan.
"Oleh itu, kestabilan di ASEAN akan menjadi baik," katanya.
Mengenai Myanmar, katanya ASEAN secara amnya dan Indonesia sebagai pengerusinya pada 2023 akan terus berbincang dengan Myanmar.
"Indonesia mempunyai pengalaman sendiri dalam pemerintahan tentera dan berdasarkan itu, kita boleh terus menasihati dan mengadakan perbincangan dengan Myanmar, selain mengekalkan dasar tidak campur tangan ASEAN dalam isu domestik.
"Mungkin mereka boleh belajar sesuatu daripada kita tetapi kita tidak akan mendesak mereka untuk berbuat demikian kerana setiap negara mempunyai demokrasinya sendiri. Biarkan mereka melaksanakan demokrasi mereka sendiri," tegasnya.
Indonesia dalam kapasitinya sebagai pengerusi ASEAN akan terus berbincang dengan Myanmar, katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi SM Investments Corporation Teresita Sy-Coson berkata Filipina yakin bahawa ia boleh terus fleksibel dan berkecuali antara China, yang bergantung kepada dari segi ekonomi dan Amerika Syarikat dari segi politik berikutan ketegangan terus meningkat.
"ASEAN telah matang pada tahap tertentu yang kita bergantung antara satu sama lain untuk kekuatan dan kita mampu melakukannya.
"Sejak beberapa tahun ini, kita telah melihat bagaimana untuk memanfaatkan saling kebergantungan untuk pertumbuhan ekonomi, kestabilan di kawasan tersebut dan saya berpendapat kita telah mencapai kejayaan.
"Bagi Filipina, ASEAN adalah kekuatan. Apabila rantau ini berkembang, kami berkembang," katanya.
-- BERNAMA