Skip to main content

Dunia

Wes Streeting umum cabar Keir Starmer sebagai pemimpin Parti Buruh, Perdana Menteri UK

Britain’s former Health Secretary Wes Streeting delivers a keynote address at the Progress annual conference 2026, in London, Britain, May 16, 2026. REUTERS/Jaimi Joy
Streeting mengundurkan diri daripada kerajaan pada Khamis dengan kritikan tajam terhadap kepimpinan Starmer. - Gambar Reuters

LONDON: Bekas Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK), Wes Streeting yang meletakkan jawatan, mengumumkan beliau akan bertanding untuk menggantikan Keir Starmer sebagai pemimpin Parti Buruh dan seterusnya menjadi Perdana Menteri negara itu, susulan keputusan buruk parti itu dalam pilihan raya tempatan.

Streeting mengundurkan diri daripada kerajaan pada Khamis dengan kritikan tajam terhadap kepimpinan Starmer, namun, tiada menteri kanan lain mengikut jejak langkahnya dan Ahli Parlimen berusia 43 tahun itu tidak serta-merta mencetuskan pertandingan kepimpinan.

Mana-mana individu yang memimpin parti pemerintah itu, yang kini memegang majoriti besar di Parlimen Britain, secara automatik akan menjadi Perdana Menteri.

Pada hari yang sama, Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham, mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen, yang jika berjaya, membolehkan beliau menyertai perebutan kepimpinan tersebut. 

Burnham, 56, dilihat sebagai tokoh dari sayap kiri parti.

Walaupun belum mengumumkan pelancaran rasmi cabaran kepimpinan, Streeting mengesahkan pada Sabtu bahawa beliau akan bertanding untuk menggantikan Starmer dan mengetuai Parti Buruh yang berhaluan tengah kiri.

“Kita memerlukan pertandingan yang sebenar dengan calon terbaik dan saya akan bertanding,” kata Streeting dalam ucapan serta sesi soal jawab di sebuah acara badan pemikir di London, pada Sabtu.

Beliau menjelaskan kelewatan melancarkan cabaran rasmi adalah kerana mahu memberi peluang kepada calon lain, termasuk Burnham, untuk turut serta.

“Jika kita tergesa-gesa tanpa memberi peluang kepada Andy untuk bertanding, pemimpin baharu, sama ada saya atau orang lain, akan kekurangan legitimasi,” katanya.

Pertandingan kepimpinan Parti Buruh boleh dicetuskan sekiranya 81 Ahli Parlimennya, bersamaan 20 peratus daripada jumlah wakil parti di Parlimen, secara rasmi menyokong calon untuk mencabar Starmer dan mengemukakan dokumen berkaitan.

Sebagai pemimpin semasa, Starmer secara automatik akan disenaraikan dalam undian sekiranya beliau memilih untuk mempertahankan kedudukannya.

Ahli-ahli Parti Buruh serta sekutunya kemudian akan mengundi, bukan hanya ahli Parlimen. 

Mereka akan menyusun calon mengikut keutamaan dan calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus undi untuk menang.

Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan (NEC) Parti Buruh pada Jumaat memaklumkan, Burnham dibenarkan bertanding dalam proses pemilihan calon bagi kerusi Makerfield di barat laut England.

Pilihan raya kecil itu dijangka berlangsung seawal pertengahan Jun, sekali gus bermakna sebarang cabaran kepimpinan formal berkemungkinan hanya akan berlaku selepas itu.

Perkembangan politik ini menyusuli keputusan hambar Parti Buruh dalam pilihan raya tempatan dan wilayah minggu lalu, yang mendorong beberapa menteri junior serta puluhan Ahli Parlimen parti itu mendesak Starmer meletak jawatan.

Namun, pemimpin UK berusia 63 tahun itu dilihat masih diberikan sedikit ruang untuk bertahan sementara keputusan pilihan raya kecil Makerfield ditentukan.

Burnham dalam kenyataannya kepada media British pada Sabtu berkata, beliau bersedia “bertarung ke peringkat tertinggi.”

Sementara itu, Streeting, melalui ucapan dasar yang luas di acara berkenaan, dilihat telah memulakan kempen kepimpinan walaupun tidak secara rasmi.

Menggariskan platform dasar awalnya, beliau menyifatkan, Brexit sebagai “kesilapan besar yang membawa bencana” dan menegaskan Britain perlu menjalin “hubungan istimewa baharu” dengan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau turut memberi bayangan mahu melihat negara itu kembali menyertai blok perdagangan tersebut pada masa hadapan. - Agensi

Must Watch Video