Pada Sabtu, 450 juta pengguna aplikasi WhatsApp seluruh dunia tidak dapat menggunakan aplikasi tersebut dalam beberapa jam kerana mengalami masalah teknikal.

Ironinya, perkara ini terjadi tiga hari selepas Facebook mengumumkan pelaburan sebanyak $19 bilion ke atas WhatsApp.

"Our System Is Currently Experiencing An Outage.
We Are Working On It And Hope To Have It Repaired Shortly"

Itu kandungan mesej WhatsApp yang ditulis di laman Twitternya.

Mesej itu kemudiannya di ‘retweet’ sebanyak 25, 000 kali dalam beberapa jam dan menimbulkan banyak spekulasi kerana ianya berlaku selepas aplikasi itu diambil alih oleh Facebook.

Sesetengah pengguna WhatsApp mendapati mereka tidak boleh melayari aplikasi tersebut dan sesetengahnya mengatakan pesanan mereka tidak dapat dihantar.

Walaubagaimanapun, dua setengah jam kemudian WhatsApp menulis di Twitter bahawa sistem mereka sudah pulih sepenuhnya.

Pakar laman sesawang dari Techcrunch.com berkata masalah itu berlaku berkemungkinan kerana pelayan (server) menerima banyak penggunaan dan ahli baru berikutan publisiti mengenai pengumuman pengambilalihan Facebook baru-baru ini.

Facebook menaruhkan keuntungan yang besar dengan kejayaan mendadak WhatsApp walau hanya baru lima tahun ia diwujudkan.

WhatsApp merupakan aplikasi sistem pesanan ringkas alternatif yang boleh dimuat turun secara percuma.

Ini merupakan pembelian terbesar yang dibuat Facebook selepas sahamnya naik mencecah $16 bilion.