WASHINGTON: White House gesa syarikat gergasi teknologi, industri kewangan dan syarikat infrastruktur utama berusaha mengatasi ancaman keselamatan siber terhadap ekonomi Amerika Syarikat.

Perkara itu dinyatakan dalam pertemuan antara Presiden Joe Biden bersama anggota kabinetnya, pada Rabu.

"Kita telah melancarkan inisiatif 100 hari untuk meningkatkan keselamatan siber di seluruh sektor elektrik. Inisiatif itu telah menghasilkan lebih daripada 150 utiliti yang berkhidmat kepada 90 juta rakyat Amerika Syarikat dikerahkan.

"Kami turut akan memperluaskan inisiatif itu kepada perkhidmatan saluran paip gas," katanya.

Jelas Biden, pihaknya turut menggesa negara-negara G7 untuk mengambil tindakan ke atas negara yang melindungi penjenayah siber ini.

Keselamatan siber menjadi agenda utama pentadbiran Biden selepas beberapa serangan berprofil tinggi terhadap syarikat pengurusan rangkaian Solarwinds, Colonial Pipeline dan Kaseya.

Serangan itu menjejaskan bekalan bahan bakar dan makanan.

Biden menyentuh mengenai serangan 'ransomware' dan menyatakan beliau telah memberi tekanan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menahan individu bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Antara yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Zmazon, Andy Jassy; Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook; Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella; Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar dan Ketua Eksekutif Pichai dan IBM, Arvind Krishna.

Microsoft memaklumkan akan melabur AS$20 bilion selama lima tahun untuk mempercepatkan usaha keselamatan sibernya.

Microsoft turut menyediakan dana AS$150 juta dalam perkhidmatan teknikal untuk membantu kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan memastikan sistem keselamatan mereka sentiasa dikemaskini.

Mesyuarat itu diadakan ketika Kongres mempertimbangkan undang-undang mengenai kebocoran data dan peraturan industri insurans keselamatan siber.