MOSCOW: Kumpulan pakar vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengeluarkan syor mengenai varian baharu COVID-19, PJ.2.1, pada Disember, menurut pertubuhan itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengenai Komposisi Vaksin COVID-19 (TAG-CO-VAC), yang bermesyuarat secara berkala untuk menyemak dan mengemas kini syor berkaitan komposisi vaksin, akan meneliti data mengenai varian PJ.2.1, ST.1 dan SW.2.1 dalam perbincangannya pada Disember 2026,” menurut WHO.
Kumpulan itu akan menganalisis maklumat mengenai evolusi genetik dan epidemiologi, selain data berkaitan ciri antigen, imunogenisiti serta keberkesanan vaksin.
Pejabat WHO di Rusia sebelum ini memaklumkan bahawa risiko penularan varian baharu koronavirus PJ.2.1 di seluruh dunia semakin meningkat.
Pertubuhan itu berkata pihaknya sedang memantau dengan teliti penularan varian berkenaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI