Skip to main content

Dunia

WHO bimbang kualiti air semakin merosot, risiko penyakit meningkat di Gaza menjelang musim sejuk

A tent camp sheltering displaced Palestinians in Gaza City, August 9, 2026. REUTERS
Van de Weerdt menekankan kemusnahan meluas di seluruh Gaza, dengan timbunan runtuhan dan kawasan yang sesak ditambah pula masalah sampah serta limpahan kumbahan. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan pada Selasa kebimbangan terhadap kemerosotan kualiti air serta peningkatan risiko penyakit di Gaza menjelang musim sejuk yang bakal tiba, lapor Anadolu Ajansi.

“Perkara yang amat membimbangkan kami ialah kualiti air semakin merosot,” kata wakil WHO bagi wilayah Palestin yang diduduki, Reinhilde Van de Weerdt, pada taklimat media mingguan di Geneva.

Beliau berkata pencemaran mikrobiologi hampir meningkat tiga kali ganda tahun ini manakala kapasiti makmal kekal terhad, menyebabkan pihak berkuasa hanya dapat mengesan dan memantau pencemar mikrobiologi utama dalam air dan persekitaran.

“Daripada lebih 6,500 sampel yang diuji, kadar pencemaran meningkat daripada kurang enam peratus pada Januari kepada hampir 20 peratus pada bulan lepas, iaitu Ogos,” kata Van de Weerdt.

Beliau turut menegaskan bahawa jumlah kes cirit-birit berair akut hampir dua kali ganda, “daripada kira-kira 30,000 kes pada Mac kepada lebih 58,000 kes pada Ogos.”

Van de Weerdt turut menekankan kemusnahan meluas di seluruh Gaza, dengan timbunan runtuhan dan kawasan yang sesak ditambah pula masalah sampah serta limpahan kumbahan.

“Hujan dan musim sejuk sudah semakin hampir. Banjir di kawasan yang sangat sesak ini akan menyebarkan kumbahan, sisa dan air tercemar ke tempat orang tidur, memasak dan menjaga orang tersayang,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa air bertakung boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan perosak manakala khemah yang lembap serta berkulat berpotensi meningkatkan risiko penyakit, khususnya penyakit pernafasan dalam kalangan kanak-kanak kecil.

“Apa yang benar-benar perlu kita lakukan sekarang ialah melindungi kemajuan rapuh yang telah dicapai dalam bidang kesihatan. Ini bermakna mencegah penularan wabak penyakit di Semenanjung Gaza dengan segala cara. Untuk bertindak lebih awal, kita perlu mempunyai keupayaan mengesahkan dengan pantas punca sebarang potensi wabak,” kata Van de Weerdt.

Beliau turut mengetengahkan isu kekurangan akses kepada perkhidmatan penting bagi golongan yang menjalani amputasi, dengan lebih 6,600 orang di Gaza dianggarkan memerlukan penjagaan jangka panjang selepas kehilangan anggota badan, ketika mereka bergelut mendapatkan peralatan bantuan yang diperlukan.

“Malangnya, tiada satu pun peralatan yang membolehkan orang ramai, termasuk ramai kanak-kanak, berjalan dan menjalani kehidupan dengan sedikit maruah memasuki Gaza sejak Mei 2024,” kata Van de Weerdt.

Beliau turut menggesa agar bekalan perubatan serta bahan untuk menyediakan tempat perlindungan kekal dibenarkan masuk secara “tanpa halangan dan dipercepatkan”, selain memastikan akses yang boleh dipercayai kepada air bersih dan pengurusan sisa yang baik.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement