Skip to main content

Dunia

WHO isytihar wabak Ebola di Congo darurat kesihatan, beri amaran penularan rentas sempadan

51660782615_WHO.jpg
WHO memaklumkan setakat ini terdapat kira-kira 246 kes disyaki dengan 80 kematian, namun menegaskan situasi tersebut tidak bermaksud pandemik global. -Gambar fail

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola di wilayah Ituri, timur Republik Demokratik Congo (DR Congo) sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Berkepentingan Antarabangsa (PHEIC).

Agensi itu memaklumkan setakat ini terdapat kira-kira 246 kes disyaki dengan 80 kematian, namun menegaskan situasi tersebut tidak bermaksud pandemik global, lapor BBC.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata terdapat ketidakpastian besar mengenai jumlah sebenar jangkitan serta tahap penyebaran wabak berkenaan.

“Penularan kali ini disebabkan virus jenis Bundibugyo, dan setakat ini tiada ubat atau vaksin khusus diluluskan untuk merawat strain tersebut,” katanya.

Sehingga kini, lapan kes disahkan melalui ujian makmal, manakala kes selebihnya masih diklasifikasikan sebagai disyaki.

Kes dan kematian dilaporkan di beberapa zon kesihatan termasuk Bunia (ibu wilayah Ituri), Mongwalu dan Rwampara.

WHO turut mengesahkan virus berkenaan telah merebak ke luar DR Congo dengan dua kes dikesan di negara jiran, Uganda.

Pihak berkuasa Uganda memaklumkan salah satu kes melibatkan lelaki berusia 59 tahun yang meninggal dunia selepas disahkan positif Ebola.

Negara yang berkongsi sempadan dengan DR Congo kini berdepan risiko tinggi susulan faktor pergerakan penduduk, aktiviti perdagangan serta perjalanan rentas sempadan yang aktif.

Must Watch Video

Advertisement