GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Grebeyesus menyatakan rasa kesal apabila orang muda dan dewasa yang sihat di negara kaya mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Ini terutama apabila kumpulan berkenaan didahulukan daripada pekerja kesihatan barisan hadapan di negara membangun.

Tambahnya, negara membangun dan berpendapatan rendah seperti Ghana dan Ivory Coast hanya mendapat vaksin Covax mereka tiga bulan selepas negara kaya seperti UK, Amerika Syarikat dan Kanada menerima vaksin mereka.

“Kami teruja melihat pekerja kesihatan dalam negara pendapatan rendah menerima vaksin. Namun kami kesal yang ia diberikan tiga bulan selepas beberapa negara kaya memulakan kempen imunisasi mereka.

“Ia mendukacitakan apabila ada negara kaya yang terus memberikan vaksin kepada orang muda dan dewasa yang sihat dan berisiko rendah dalam populasi mereka, mendahului pekerja kesihatan dan warga emas di negara lain.

“Negara ini harus sedar yang mereka bukan bersaing dengan negara lain; mereka sedang melawan COVID-19,” katanya.

Beliau turut melaporkan untuk kali pertama dalam tujuh minggu, kes baharu COVID-19 meningkat di empat daripada enam rantau, termasuk di Amerika, Eropah, Asia Tenggara dan Timur Mediteranean.

Kawasan yang tidak mencatat peningkatan adalah Afrika dan barat Pasifik.

Dr Tedros menjelaskan WHO akan meneliti punca peningkatan ini namun percaya ia berkaitan dengan langkah mengawal COVID-19 yang dikurangkan.