SELEPAS tertangguh beberapa minggu, pasukan saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan ke Wuhan, China untuk misi kenal pasti punca virus COVID-19.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, ini selepas China memberikan lampu hijau kepada agensi berkenaan untuk menjalankan kajian.

“Kami gembira kerana kumpulan saintis antarabangsa, pakar terkemuka dari sepuluh institusi dan negara akan memulakan perjalanan ke China untuk mengkaji penyelidikan saintifik mengenai asal-usul virus COVID-19 ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan GOARN (Global Outbreak Alert And Response Network) dan negara-negara yang menyokong misi ini termasuk Australia, Denmark, Jerman, Kenya, Jepun, Belanda, Qatar, Rusia, Sudan, United Kingdom, Amerika Syarikat, Vietnam dan rakan-rakan kami dari China.

“Kajian akan dimulakan di Wuhan untuk mengenal pasti sumber kemungkinan jangkitan pada kes awal. Bukti saintifik akan mendorong hipotesis yang kemudian akan menjadi asas untuk kajian jangka panjang. Ini penting bukan hanya untuk COVID-19, tetapi untuk masa depan keselamatan kesihatan global dan untuk menguruskan ancaman penyakit yang muncul dengan potensi pandemik,” katanya.

China dilaporkan sebelum ini main tarik tali berhubung kebenaran kepada WHO untuk menjalankan kajian.

Namun Beijing memaklumkan, kelewatan itu adalah disebabkan beberapa masalah logistik.

Lapor Associated Press baru-baru ini, bahawa China mengendalikan semua penyelidikan mengenai asal-usul COVID-19 dengan ketat  dan bimbang pasukan WHO mempunyai agenda mereka yang tersendiri.