Tiga fasa PLSB Sungai Golok perkukuh perlindungan banjir di Kelantan - PETRA

Antara tembok keselamatan dan kawalan banjir ketika tinjauan di sempadan Rantau Panjang - Sungai Golok. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dilaksanakan secara berfasa dijangka memberikan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan berisiko tinggi di Kelantan apabila siap sepenuhnya kelak.
Ringkasan AI
- Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan berupaya memberikan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan berisiko tinggi apabila siap sepenuhnya.
- PLSB Sungai Golok merangkumi tiga fasa utama dengan matlamat mengurangkan risiko banjir hingga tahap 50 Annual Recurrence Interval (ARI) setelah keseluruhan fasa disiapkan.
- Pendekatan projek ini termasuk langkah sementara dan penyelesaian jangka panjang untuk memastikan perlindungan berterusan kepada penduduk serta alam sekitar, selaras dengan aspirasi keselamatan Malaysia MADANI.
"Sementara itu, Fasa 3 telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 9.2 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya April 2029. Setelah ketiga-tiga fasa PLSB disiapkan sepenuhnya, ia dijangka dapat menyediakan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan utama termasuk Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat," menurut PETRA dalam kenyataan itu.
PETRA memaklumkan, projek berkenaan dilaksanakan secara komprehensif dan berfasa, iaitu menggabungkan langkah sementara dan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan perlindungan berterusan kepada penduduk dan alam sekitar.
Pendekatan itu bertujuan menangani risiko banjir semasa musim monsun, di samping menyediakan penyelesaian struktur yang lebih mampan dalam jangka panjang bagi menghadapi impak perubahan iklim.
Sementara menunggu penyiapan keseluruhan projek jangka panjang, PETRA menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan beberapa langkah mitigasi di kawasan kritikal antaranya kerja-kerja pengorekan Sungai Lanchang Lemal bagi meningkatkan kapasiti sungai dan mengurangkan limpahan di kawasan rendah, khususnya di Tumpat dan Pasir Mas.
Selain itu, turut disediakan prosedur operasi standard Danau To' Uban bagi menyelaras kawalan aras air dan pengurusan takungan semasa kejadian hujan lebat, pemasangan struktur mudah alih tembok penghadang banjir di kawasan berisiko tinggi dan kerja pengorekan muara Sungai Golok yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
PLSB Sungai Golok, menurut PETRA bukan sekadar melibatkan pembinaan benteng semata-mata, sebaliknya merangkumi pengurusan menyeluruh terhadap limpahan sungai utama. Hal ini termasuk pelebaran sungai, pembinaan struktur kawalan aliran serta pelaksanaan langkah mitigasi banjir bersepadu.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk melaksanakan projek PLSB Sungai Golok mengikutperancangan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan.
"Pelaksanaan ini turut melibatkan kerjasama berterusan dengan kerajaan negeri bagi memastikan perlindungan jangka panjang kepada penduduk di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat," menurut PETRA sambil mengalu-alukan pandangan orang ramai demi memperkukuh keberkesanan penyelesaian isu banjir monsun yang berlaku saban tahun di kawasan terbabit.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


