WMO: Pemanasan di rantau Arab dua kali ganda lebih cepat daripada purata global

Suhu meningkat dua kali ganda daripada purata global di rantau Arab, dengan gelombang haba yang ekstrem menekan masyarakat ke tahap maksimum. - Foto WMO
GENEVA: Rantau Arab mencatatkan tahun paling panas dalam rekod pada 2024, dengan suhu meningkat dua kali ganda lebih cepat daripada purata global dan cuaca ekstrem menyebabkan gangguan sosial serta ekonomi yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Khamis.
Ringkasan AI
- Tahun 2024 catatkan rekod suhu paling panas di Rantau Arab, meningkat dua kali ganda laju daripada purata global, menyebabkan cuaca ekstrem yang ganggu sosial dan ekonomi.
- Laporan WMO nyatakan pemanasan meningkat dengan cepat, menyebabkan gelombang haba ekstrem, kemarau teruk, dan kejadian hujan merosakkan, memburukkan cabaran sedia ada dalam rantau kekurangan air.
- Ancaman cuaca ekstrem pada 2024 terjejas hampir 3.8 juta orang di rantau Arab, menyebabkan lebih 300 kematian, dan sistem amaran awal bahaya belum mencukupi.
Laporan yang dihasilkan dengan kerjasama Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia Barat serta Liga Arab itu bertujuan menyokong proses membuat keputusan di rantau yang terdiri daripada 15 negara.
"2024 merupakan tahun paling panas dalam rekod bagi rantau Arab - kesinambungan trend jangka panjang. Suhu meningkat dua kali ganda daripada purata global, dengan gelombang haba yang ekstrem menekan masyarakat ke tahap maksimum," kata Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo.
"Kesihatan manusia, ekosistem dan ekonomi tidak mampu bertahan dalam tempoh berpanjangan melebihi 50 darjah Celsius (122?F), ia terlalu panas untuk ditanggung."

Foto WMO
Purata suhu rantau itu pada 2024 adalah 1.08?C lebih tinggi berbanding purata 1991-2020, dengan beberapa negara melepasi paras 50?C pada 2024.
Kemarau bertambah buruk di barat Afrika Utara selepas enam musim hujan yang gagal, manakala hujan lebat dan banjir kilat melanda negara-negara gersang termasuk Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu, menurut laporan itu.
Hampir 3.8 juta orang terjejas akibat kejadian ekstrem pada 2024 yang mengakibatkan lebih 300 kematian, kebanyakannya akibat gelombang haba dan banjir.
Menurut laporan itu, sistem amaran awal pelbagai bahaya kini meliputi hampir 60 peratus negara Arab, melebihi purata global tetapi masih belum mencukupi.
Melihat ke hadapan, model iklim mengunjurkan suhu purata boleh meningkat sehingga 5?C menjelang akhir abad ini di bawah senario pelepasan yang tinggi.
"Model iklim yang meliputi rantau Arab menjangkakan potensi peningkatan purata suhu sehingga 5?C menjelang akhir abad ini di bawah senario pelepasan yang tinggi," kata Rola Dashti, Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia Barat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


