JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang yang dilaporkan parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri pada Selasa kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Bekas Setiausaha Bersekutu Bersatu Johor, Yeo Kwee Kwang berkata, lelaki berusia 41 tahun itu dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.
Advertisement
"Beliau dikejarkan dengan ambulans ke sini (HSI) dan sebaik tiba terus dirawat di bahagian kecemasan dan kini telah pun dibawa ke bilik pembedahan untuk menjalani pembedahan. Pembedahan sedang dijalankan," katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI di sini semalam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan dipercayai tertembak diri sendiri ketika sedang mengadakan sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.
Ahli keluarga termasuk isterinya, Datin Tan Nie Nie dan rakan-rakan politiknya dilihat turut berada di hospital sejak jam 6 petang bagi menanti perkembangan terkini beliau.
Mengulas lanjut, Kwee Kwang berkata, ketika kejadian, Lek Khang bersama individu yang bukan dalam kalangan kawan mereka menyebabkan maklumat lengkap mengenai kejadian itu belum diterima.
Bagaimanapun, beliau berkata, maklumat awal diterima kejadian berlaku ketika Lek Khang yang mempunyai lesen senjata api itu sedang mengosongkan peluru dalam senjata api.
"Kami pun dapat maklumat daripada kawan rapatlah, kerana ketika insiden tidak ada orang kita bersama dengan beliau.
"Tetapi, ada seorang rakan kami bagitahu dia ada berbual dengan beliau (Lek Khang) dalam telefon antara jam 2 hingga 3 petang itu sebelum kejadian.
"Diberitahu bahawa mungkin masa beliau sedang latihan itu, ada peluru yang tertinggal dalam senjata api dan beliau tidak perasan lalu tertembak menyebabkan cedera di bahagian dada dan bawah ketiak," katanya.
Pada masa sama, Kwee Kwang memohon semua pihak mendoakan pembedahan ke atas Lek Khang berjalan lancar dan dapat menyelamatkan nyawanya.
Sementara itu, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit.
Pada 13 Februari lalu, Lek Khang mengumumkan peletakan jawatan serta keluar Bersatu berkuat kuasa serta merta susulan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Lek Khang menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN). - Sinar Harian