KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihati rakyat Malaysia di Sudan supaya berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara waktu berikutan konflik di negara itu.

Beliau berkata mereka boleh berhubung terus dengan Pihak Malawakil Malaysia di Sudan dan sebarang makluman atau tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Wisma Putra memantau rapat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain bagi memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia yang berada di Sudan terjamin," katanya sambil memaklumkan sehingga kini, 29 rakyat Malaysia dikenal pasti berada di Sudan, kebanyakannya pelajar, dan mereka disahkan selamat.

Zambry berkata Mesyuarat Antara Agensi diadakan pagi tadi untuk mendapatkan maklumat terkini situasi semasa di Sudan dan berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu terjamin semasa konflik ini.

Mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri Datuk Norman Muhamad itu turut melibatkan MKN, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri Bahagian Penyelidikan, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia dan PETRONAS.

"Bilik operasi 24 jam juga telah dilancarkan di Wisma Putra bagi memantau keadaan semasa kejadian di Sudan. Selain itu, komunikasi berkumpulan melalui WhatsApp turut dilakukan," katanya.

Konflik di Sudan, yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.

-- BERNAMA