DUNIA
Zelenskyy gesa pertemuan dengan Putin ketika usaha damai terus buntu

Presiden Zelenskyy (kanan) sekali lagi menggesa pertemuan dengan Presiden Putin sebagai jalan paling berkesan ke arah perdamaian. - Gambar fail Reuters
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sekali lagi menggesa pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai jalan paling berkesan ke arah perdamaian.
Gesaan itu dibuat ketika Ukraine meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-34, pada Ahad.
Sebelum ini, Moscow menolak sebarang kemungkinan pertemuan segera antara kedua-dua pemimpin, sekali gus merencatkan usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menganjurkan sidang kemuncak Ukraine-Rusia.
Bagaimanapun, Zelenskyy menegaskan, rundingan terus antara pemimpin negara adalah format paling berkesan bagi mencari penyelesaian.Beliau berkata demikian pada majlis sambutan kemerdekaan yang turut dihadiri wakil Barat, termasuk Utusan Khas Amerika Syarikat, Keith Kellogg.
Dalam ucapan itu, Zelenskyy menegaskan, Ukraine akan terus mendesak Rusia ke arah perdamaian.
Pada hari sama, kedua-dua negara mengumumkan pertukaran 146 tahanan perang dan orang awam, termasuk dua wartawan Ukraine yang dilaporkan pernah diculik dan didera ketika dalam tahanan Rusia.
Di medan pertempuran, tentera Ukraine mendakwa berjaya merampas semula tiga kampung di wilayah Donetsk, sehari selepas Rusia mendakwa menawan dua kampung lain di kawasan sama.
Serangan dron Ukraine ke atas Rusia pada Hari Kemerdekaan turut mencetuskan kebakaran di Loji Nuklear Kursk.
Pihak berkuasa loji memaklumkan kebakaran berjaya dipadamkan tanpa sebarang kecederaan atau peningkatan tahap radiasi.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa sebelum ini berulang kali memberi amaran mengenai risiko pertempuran di sekitar loji nuklear.
Dalam pada itu, Rusia turut melaporkan serangan dron di beberapa kawasan lain, termasuk Saint Petersburg dan pelabuhan Ust-Luga di Teluk Finland, yang mengakibatkan kebakaran di terminal bahan api milik syarikat tenaga Novatek.
Serangan balas Rusia pula melibatkan peluru berpandu balistik dan 72 dron Shahed buatan Iran.
Tentera udara Ukraine mendakwa berjaya menembak jatuh 48 daripadanya, namun seorang wanita maut dalam serangan dron di wilayah Dnipropetrovsk.
Dalam ucapannya, Zelenskyy menegaskan, Ukraine bukan lagi dilihat sebagai mangsa, sebaliknya sebagai pejuang.
Beliau turut mengulangi komitmen untuk mendapatkan jaminan keselamatan daripada sekutu Barat, meskipun Rusia membantah kehadiran tentera asing di Ukraine.
Lawatan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney ke Kyiv pula menegaskan masa depan kedaulatan Ukraine bukan ditentukan oleh Rusia.
Norway turut mengumumkan sumbangan 7 bilion kroner atau AS$700 juta, termasuk bantuan dua sistem pertahanan udara Patriot hasil kerjasama dengan Jerman.
Sehingga kini, Rusia masih menguasai sekitar 20 peratus wilayah Ukraine termasuk Semenanjung Crimea yang dianeksasi sejak 2014.
Pertempuran berterusan sejak lebih dua tahun lalu telah memaksa jutaan penduduk melarikan diri, selain memusnahkan bandar serta kampung di timur dan selatan Ukraine. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami