Zelenskyy puji ‘idea baharu’ selepas rundingan damai dengan wakil AS

Zelenskyy mengakui masih ada “isu sensitif” yang perlu diselesaikan, namun yakin bersama pasukan AS mereka memahami bagaimana untuk melaksanakan pelan tersebut. - Gambar fail
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyifatkan perbincangan terbaharu dengan wakil Amerika Syarikat (AS) mengenai usaha menamatkan perang Rusia-Ukraine sebagai positif, sambil menyatakan ia membawa “idea baharu” ke arah perdamaian.
Zelenskyy berkata, panggilan selama hampir sejam pada Khamis bersama Steve Witkoff dan Jared Kushner menghasilkan cadangan baharu berkaitan format, pertemuan dan tempoh masa untuk mendekatkan usaha damai.
Beliau bercakap sehari selepas mendedahkan pelan damai 20 perkara yang dikemas kini, dipersetujui oleh wakil AS dan Ukraine dalam pertemuan di Florida.
“Saya meminta mereka menyampaikan ucapan Krismas kepada Presiden AS, Donald Trump dan seluruh keluarga Trump,” kata Zelenskyy.
Trump dan wakilnya kini mengadakan rundingan dengan Ukraine dan Rusia bagi mencapai persetujuan menamatkan perang yang tercetus sejak pencerobohan penuh Rusia pada Februari 2022.
Zelenskyy mengakui masih ada “isu sensitif” yang perlu diselesaikan, namun yakin bersama pasukan AS mereka memahami bagaimana untuk melaksanakan pelan tersebut.
Ketua perunding Ukraine, Rustem Umerov akan meneruskan perbincangan dengan wakil AS.
Pelan damai yang dikemas kini dilihat sebagai penambahbaikan kepada draf awal yang disediakan Witkoff beberapa minggu lalu, yang sebelum ini dikritik kerana terlalu memihak kepada tuntutan Rusia.
Cadangan baharu: Zon bebas tentera dan jaminan keselamatan
Zelenskyy menjelaskan, pelan baharu itu menawarkan kemungkinan pengunduran tentera Ukraine dari timur dan mewujudkan zon bebas tentera, dengan jaminan keselamatan daripada AS, NATO dan Eropah sekiranya Rusia menyerang semula.
Bagi isu wilayah industri Donetsk, beliau mencadangkan penubuhan zon ekonomi bebas, namun menegaskan kawasan yang ditinggalkan tentera Ukraine mesti kekal di bawah kawalan polis Ukraine.
Moscow kini menguasai kira-kira 75 peratus wilayah Donetsk dan hampir keseluruhan Luhansk, yang dikenali sebagai Donbas.
Zelenskyy setakat ini menolak sebarang penyerahan wilayah, sebaliknya, menuntut jaminan keselamatan kukuh dalam sebarang perjanjian.
Rusia tinjau cadangan, pertempuran masih berterusan
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Moscow sedang meneliti cadangan yang dibawa pulang oleh utusan Rusia dari AS dan akan meneruskan komunikasi bergantung kepada keputusan Presiden Vladimir Putin.
Sementara rundingan damai diteruskan, pertempuran di medan masih berlaku.
Tentera Ukraine mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kilang penapisan minyak utama Rusia di Rostov, yang penting untuk bekalan bahan api operasi ketenteraan Moscow.
Kementerian Pertahanan Rusia pula mengumumkan penguasaan ke atas penempatan Sviato-Pokrovske di Donetsk, selepas tentera Ukraine berundur dari bandar Siversk awal minggu ini – perkembangan yang membawa Rusia lebih hampir ke kubu terakhir Ukraine di Sloviansk dan Kramatorsk. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


