DUNIA
Zelenskyy puji usaha Trump tamatkan perang di Ukraine

Presiden Zelenskyy (kiri) memuji kenyataan tegas Presiden Trump, yang menetapkan tempoh baharu antara 10 hingga 12 hari kepada Rusia untuk menunjukkan kemajuan dalam usaha menamatkan perang di Ukraine. - Gambar fail Reuters
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memuji kenyataan tegas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menetapkan tempoh baharu antara 10 hingga 12 hari kepada Rusia untuk menunjukkan kemajuan dalam usaha menamatkan perang di Ukraine.
Zelenskyy menyifatkan kenyataan Trump amat signifikan, sambil menegaskan sekatan keras terhadap Rusia merupakan elemen utama dalam mencapai penyelesaian konflik.
"Hari ini, terdapat satu kenyataan yang sangat penting daripada Presiden Trump dan memang benar, Rusia sedang melakukan segala-galanya untuk menggagalkan usaha damai dan memanjangkan perang ini. Serangan setiap malam, cubaan berterusan oleh Rusia untuk menyakiti Ukraine.
"Kami telah berulang kali menyatakan dan semua rakan kongsi kami tahu bahawa sekatan adalah elemen utama. Rusia memberi perhatian kepada sekatan, kepada kerugian seperti itu."Keamanan melalui kekuatan adalah sesuatu yang boleh dicapai. Seperti biasa, Ukraine bersedia untuk bekerjasama secara produktif dengan Amerika Syarikat, untuk bekerjasama dengan Presiden Trump bagi menamatkan perang ini dengan bermaruah dan menjamin keamanan yang berkekalan," katanya.
Menurut Zelenskyy, Rusia memberi perhatian terhadap sekatan dan kerugian yang dialaminya manakala Ukraine bersedia untuk bekerjasama secara produktif dengan Amerika dan Presiden Trump bagi menamatkan perang ini dengan bermaruah serta menjamin keamanan yang berkekalan.
Trump mengumumkan tempoh baharu itu pada Isnin, sebagai tanda kekecewaannya terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang didakwa gagal menunjukkan kemajuan dalam konflik yang telah berlarutan selama tiga setengah tahun.
Zelenskyy turut menyatakan penghargaan terhadap fokus Presiden Trump dalam menyelamatkan nyawa dan menghentikan peperangan yang disifatkan sebagai "mengerikan."
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami