Skip to main content

Dunia

Perancis berdepan tekanan kenaikan harga kesan perang Asia Barat dalam rantaian bekalan

61751379334_ParisFrance.jpg
Semua pihak di Perancis digesa supaya bersikap sederhana ketika kebimbangan meningkat terhadap kesan ke atas kuasa beli isi rumah. - Gambar hiasan

ISTANBUL: Perancis berdepan kebimbangan baharu terhadap kenaikan harga pengguna apabila kesan ekonomi konflik Asia Barat mula menjejaskan rantaian bekalan, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Ekonomi dan Kewangan Perancis Roland Lescure mengadakan pertemuan dengan peruncit bagi menilai keadaan semasa, ketika kerajaan berusaha mengekang risiko inflasi tanpa membuka semula rundingan harga tahunan antara pasar raya dan pembekal, lapor Franceinfo pada Isnin.

Advertisement

Walaupun tekanan semakin meningkat, pegawai menolak kemungkinan merunding semula kontrak yang dipersetujui awal tahun ini, dengan alasan keadaan semasa tidak memerlukan pengulangan langkah luar biasa seperti yang dilaksanakan semasa krisis COVID-19 pada 2022.

Jurucakap kerajaan Maud Bregeon mengulangi pendirian itu sambil menggesa semua pihak supaya bersikap sederhana ketika kebimbangan meningkat terhadap kesan ke atas kuasa beli isi rumah.

Amaran itu dibuat ketika harga tenaga global kekal tidak menentu susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, dengan kesan limpahan dijangka dirasai dalam sektor pengangkutan, pengeluaran dan peruncitan.

Peningkatan kos minyak, gangguan dalam perkapalan maritim serta ketidaktentuan logistik yang lebih meluas kini meningkatkan tekanan terhadap harga bahan mentah, sekali gus meningkatkan kemungkinan kenaikan kos barangan keperluan harian, menurut laporan media itu yang memetik sumber industri.

Syarikat tenusu utama Perancis Lactalis menjadi antara syarikat besar terawal mengesahkan bahawa ia akan memindahkan kesan krisis itu kepada harga runcit. Walaupun tidak menyatakan kadar kenaikan, langkah itu dilihat sebagai petunjuk bahawa kenaikan lanjut mungkin berlaku dalam sektor berkenaan.

Kerajaan bagaimanapun mempunyai ruang terhad untuk campur tangan secara langsung dalam penetapan harga sektor swasta, sebaliknya menggesa “tanggungjawab” daripada pengeluar dan peruncit.

Pegawai turut menolak gesaan daripada beberapa kumpulan politik supaya kawalan harga dikenakan, dengan memberi amaran langkah sedemikian boleh menyebabkan kekurangan bekalan berdasarkan pengalaman lalu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video