GADGETS
Apple aktifkan ciri notifikasi apnea tidur dan bantuan pendengaran untuk pengguna Malaysia

Notifikasi apnea tidur menggunakan sensor Apple Watch untuk mengesan gangguan pernafasan semasa tidur, manakala bantuan pendengaran melalui AirPods Pro 2 membolehkan ujian pendengaran dan pengoptimuman bunyi. -Amanz
APPLE hari ini memperkenalkan dua ciri baharu yang memfokuskan kesihatan untuk pengguna di Malaysia, iaitu sokongan notifikasi apnea tidur melalui Apple Watch dan sokongan bantuan pendengaran melalui AirPods Pro 2.
Ringkasan AI
- Apple memperkenalkan sokongan notifikasi apnea tidur melalui Apple Watch dan bantuan pendengaran melalui AirPods Pro 2 di Malaysia.
- Notifikasi apnea tidur menggunakan sensor Apple Watch untuk mengesan gangguan pernafasan semasa tidur, manakala bantuan pendengaran melalui AirPods Pro 2 membolehkan ujian pendengaran dan pengoptimuman bunyi.
- Kedua-dua ciri ini diaktifkan untuk semua pengguna iOS 18 tanpa memerlukan kemas kini perisian tambahan.
Apnea tidur adalah gangguan tidur yang serius yang menyebabkan pernafasan terganggu beberapa kali ketika seseorang sedang tidur.
Sejumlah besar individu yang mengalami masalah ini tidak didiagnosis dan tidak mengetahui akan masalah ini.
Dengan sokongan notifikasi pada Apple Watch, ia memudahkan pengguna mengetahui tentang masalah ini untuk langkah semakan lanjut bersama doktor.
Apple menjayakan sokongan ini melalui metrik gangguan pernafasan ketika tidur, menggunakan sensor pada Apple Watch.
Data akan dihimpunkan selama 30 hari sebelum berkongsi dengan pengguna tentang masalah apnea tidur ini. Pengguna boleh membawa data tersebut untuk diagnosis lanjutan bersama doktor.
Untuk menggunakan ciri ini, pengguna perlu menggunakan Apple Watch Series 9, Apple Watch Series 10, dan Apple Watch Ultra 2.
Selain itu, Apple turut mengaktifkan ciri bantuan pendengaran melalui AirPods Pro 2 di Malaysia.
Melalui ciri ini, pengguna kini boleh melakukan ujian kadar pendengaran telinga kanan dan kiri, dan seterusnya mengaktifkan ciri bantuan pendengaran dengan mengoptimumkan bunyi untuk telinga pengguna.
Apple mengatakan ujian pendengaran melalui penggunaan AirPods Pro 2 adalah bertaraf klinikal dan boleh dilakukan di bilik yang senyap oleh pengguna.
Ujian ini mengambil masa sekitar 5 minit, di mana pengguna perlu menjawab sama ada mendengar sesuatu bunyi atau tidak.
Selesai ujian tersebut, data akan disimpan pada Apple Health, dan pengguna boleh melakukan sejumlah tetapan untuk memastikan pendengaran lebih baik.
AirPods Pro 2 juga akan mula mengurangkan bunyi yang kuat supaya lebih baik untuk pendengaran pengguna melalui kemas kini ini.
Untuk menggunakan ciri bantuan pendengaran ini, pengguna perlu menggunakan AirPods Pro 2 dengan kemas kini perisian terkini, yang disatukan bersama iPhone yang menjalankan iOS 18 dan terkini.
Ciri ini juga ditujukan untuk mereka yang berumur lebih 18 tahun.
Kedua-dua kemas kini ini boleh dinikmati oleh pengguna di Malaysia bermula hari ini. -Amanz
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami