ROCKETFUEL Entertainment memperkenalkan seorang bintang muda iaitu Aamin Yusoff. Bakatnya itu dilihat menerusi sosial media Instagram yang mana beliau sangat aktif menyanyikan lagu cover di media sosial.

Aamin berasal dari Johor Bahru dan berumur 23 tahun. Single Penyakit Hati ini juga dicipta sepenuhnya oleh Aamin sendiri dan gubahan muzik oleh AG Coco.

"Single Penyakit Hati ini mengisahkan tentang seorang remaja yang sudah serik bercinta kerana sering kali gagal.

"Tidak mahu gagal lagi, dia berhenti dari mencari cinta agar hatinya tidak lagi disakiti.

"Lagu yang bergenre pop ini juga mempunyai melodi yang 'catchy', mesra pendengar dan mudah untuk dihafal, selari dengan evolusi muzik terkini.

"Melodi dan penulisan lirik untuk lagu ini mengambil masa yang lama kerana saya masih baru dalam bidang ini dan harus berhati hati.

"Proses rakaman di studio berjalan dengan lancar kerana saya dibimbing oleh AG Coco sebagai penerbit lagu ini.

"Saya berharap orang ramai dapat menerima dan menikmati hasil kerja pertama saya ini," kata Aamin.

Menurut Feros selaku Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment, Aamin merupakan seorang bakat baru yang mempunyai potensi dalam bidang hiburan.

"Apa yang boleh kita lihat, Aamin seorang anak muda yang berbakat besar, ada keyakinan diri dan boleh mencipta lagu sendiri pada usia yang muda.

"Kita amat memerlukan bakat seperti ini didalam industri muzik tanah air agar boleh menjadi pelapis pada masa akan datang. Dengan buah tangan yang dihasilkan oleh Aamin sendiri, kami berharap lagu Penyakit Hati dapat diterima baik penggemar muzik Malaysia," katanya.



Single Penyakit Hati ini diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment dan bakal menemui peminat-peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia bermula pada Selasa.

Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox dan Apple Music.