ALOR GAJAH: Sepasang pengantin baharu yang lengkap berpakaian pengantin terpaksa berpatah balik ke rumah selepas menyedari mereka tertinggal MyKad ketika tiba di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
Pasangan berkenaan, Yau Wei Ming, 31, yang bekerja dalam bidang pembinaan dan isterinya, Chan Jia Rin, 27, yang bertugas dalam bidang sumber manusia, tiba di pusat pengundian itu kira-kira jam 12 tengah hari dengan menaiki kereta antik berhias yang disewa khas sempena majlis perkahwinan mereka.
Difahamkan, pasangan itu hanya menyedari MyKad masing-masing tertinggal ketika hendak mendaftar untuk proses pengundian, menyebabkan mereka terpaksa pulang sebentar ke rumah di Machap Baru bagi mengambil dokumen berkenaan.
Wei Ming berkata mereka yang berasal dari Machap Baru dan bekerja di Singapura pulang ke tanah air pada Rabu lalu bagi melangsungkan perkahwinan yang sememangnya dirancang sejak setahun lalu.
“Tadi, kami ke tokong untuk mengambil gambar dan bersembahyang sebelum datang ke sini untuk mengundi.
“Majlis perkahwinan ini memang dirancang sejak setahun lalu dan kebetulan tarikhnya jatuh pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Bangga dan seronok juga. Ini memang satu pengalaman istimewa,” katanya.
Pasangan itu kemudian kembali ke pusat pengundian berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari untuk menunaikan tanggungjawab mereka. -Sinar Harian