Skip to main content

Malaysia

Pengiktirafan Anugerah Graduan Pilihan MNC bukti UniMAP lahir tenaga mahir - Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin (lima dari kiri) berkenan bergambar bersama graduan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-21 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, hari ini. - Gambar Bernama
Tuanku Syed Faizuddin (lima dari kiri) berkenan bergambar bersama graduan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-21 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) Tertinggi yang diraih Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi tempoh dua tahun berturut-turut, membuktikan peranan penting universiti itu dalam melahirkan tenaga mahir dan menyokong keperluan industri berteknologi tinggi negara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah, oleh itu, UniMAP hendaklah terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang melahirkan graduan berdaya saing, berfikiran kritis dan berkeupayaan menjadi pemangkin kepada pembangunan Perlis khususnya, serta kemajuan negara amnya.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UniMAP atas kejayaan meraih pengiktirafan Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) Tertinggi selama dua tahun berturut-turut bagi 2024 dan 2025," titah baginda.

Advertisement

Raja Muda Perlis bertitah demikian pada sidang satu Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-21 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Advertisement

Pengiktirafan menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu mencerminkan keyakinan syarikat multinasional terhadap kualiti dan kompetensi graduan universiti berkenaan.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, para siswazah hendaklah memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan penyelesaian bermanfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing negara serta memperluas perkongsian ilmu demi kemajuan bersama.

"Sesungguhnya, semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin besar peluang dan peranan untuk menyumbang kepada bangsa dan negara," titah baginda.

Pada sidang satu istiadat konvokesyen itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengisytiharkan lantikan semula Pro-Canselor UniMAP kepada Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen.

Raja Muda Perlis turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Datuk Seri Wong Siew Hai sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kejuruteraan, pembangunan industri semikonduktor, pendidikan dan pembangunan bakat.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian Luqmanul Hakim Hidayat dan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer dengan Kepujian Kung Zhern Liang.

Sebanyak 3,776 graduan UniMAP akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada tujuh sidang istiadat konvokesyen universiti itu yang berlangsung selama empat hari di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini mulai hari ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement