ABANG kepada pengacara dan pelakon Uyaina Arshad, Mohd Attaful Uzair Arshad, 35, meninggal dunia kira-kira jam 9 malam Khamis akibat serangan jantung.

Perkara itu dimaklumkan Uyaina dalam Instagram miliknya.

Jelasnya, beliau tidak menyangka pertemuan bersama Allahyarham semalam (Khamis) merupakan kali terakhir sebelum pergi buat selamanya.

"Baru semalam kami berjumpa. Makan, bersembang dan ketawa sama-sama. Macam-macam juga dia pesan. Dia risaukan adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu.

"Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi. Sama usia dengan arwah baba (bapa) sewaktu dia meninggal dunia," jelasnya.

Tambah Uyaina, hari ini juga merupakan hari jadi ibunya, di mana Allahyarham telah merancang lama untuk menyambutnya, namun berlaku sebaliknya.

"Saya kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang. Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi ummi.

"Lama dia rancang nak sambut ulang tahun ummi. Akhirnya, hari lahir ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya. Allahuakbar," tulisnya lagi.

Ujar Uyaina, Allahyarham abangnya itu merupakan seorang doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, dan merupakan tulang belakang kepada keluarganya sejak ayahnya meninggal dunia.

"Orang baik selalu pergi dulu. Dia sangat baik, terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik.

"Lepas arwah baba meninggal dunia, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi dia dah tunjukkan contoh yang baik untuk kami adik-adik.

"Dia masuk asrama. Kami semua nak masuk asrama. Dia berjaya dalam pelajaran. Kami semua nak berjaya dalam pelajaran.

"Dia sentiasa dahulukan ummi. Kami adik-adik berebut nak berbakti untuk ummi. Dia baik, pemurah dan penyayang," kongsi Uyaina lagi.

Justeru beliau meminta semua peminat dan kenalan agar menghadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham abangnya itu serta mendoakan kesejahteraan isteri dan anak-anak Allahyarham.

Difahamkan jenazah akan disolatkan di Masjid ATM Hospital Tuanku Mizan selepas solat Jumaat. Bagaimanapun tidak dipastikan lokasi jenazah akan dikebumikan.