SELAMAT mendirikan rumah tangga pada Isnin lalu bersama YouTuber kelahiran Scotland, Alana Dee Dunsmore, pelakon Abbas Mahmood sempat berkongsi detik indah pertemuan mereka.

Kata Abbas, 26, dia terpaut dengan keteguhan hati isterinya itu mempelajari agama Islam selepas bergelar mualaf pada 5 November 2023.

"Kali pertama saya jumpa saya ingat lagi, kami banyak bercakap tentang hidup dan kematian.

"Saya ingat saya membawa satu naskhah Al-Quran di sebuah coffee shop dan dia banyak bertanya, saya pun suka berkongsi.

"Saya tidak banyak ilmu, tapi saya hanya mampu berkongsi apa yang saya tahu," ujarnya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Abbas turut menceritakan bagaimana Alana berusaha untuk mempelajari dan memahami agama Islam yang membuatkan mereka saling jatuh cinta antara satu sama lain.

“Empat tahun dia mempelajari tentang Islam. Dan lama-kelamaan daripada situlah kami jatuh cinta dengan diri masing-masing.

“Saya beritahu dia saya tak nak bazirkan masa saya, saya tak nak sekadar bercinta sia-sia dan Alhamdulillah dia pun cakap dia sanggup untuk mula secara perlahan untuk faham tentang agama Islam,” kongsinya.

Abbas telah selamat bergelar suami kepada Alana dengan sekali lafaz pada Isnin lalu.

Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.

*Artikel asal yang disiarkan di Gempak